SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri digesa memberi tumpuan khusus terhadap usaha memperkasa masyarakat India melalui penambahan peruntukan khas dan kenaikan elaun ketua komuniti dalam Belanjawan Selangor 2026.
Ketua Komuniti India Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, Elisha Samson Emmanuel, 47, berkata masyarakat India berharap mereka terus diberi perhatian sewajarnya dalam usaha memperkukuh peranan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan sosial di negeri ini.
"Kerajaan Negeri wajar meningkatkan elaun tahunan kepada ketua komuniti India seiring dengan peningkatan kos sara hidup.
"Selain itu, bilangan program komuniti juga perlu ditambah bagi mengukuhkan perpaduan dan memperkasakan sosioekonomi masyarakat," ujarnya kepada Media Selangor.

Beliau menambah, peruntukan yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi penganjuran pelbagai program pembangunan masyarakat India di kawasan setempat.
Elisha turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pemberian komputer riba kepada ketua komuniti India bagi melancarkan urusan pentadbiran harian dan meningkatkan kecekapan pengurusan.
Selain itu, katanya, komuniti India juga memerlukan pembinaan dewan komuniti khusus bagi melaksanakan aktiviti sosial dan program kemasyarakatan secara lebih tersusun dan berterusan.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Deepavali 2025 menegaskan Belanjawan Selangor 2026 akan terus memberi tumpuan kepada usaha membela dan memberdaya masyarakat India di Selangor, sejajar dengan matlamat meningkatkan kualiti hidup dan memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.





