Kemajuan desa dalam Islam bukan hanya diukur melalui pencapaian ekonomi atau kemudahan moden semata-mata, tetapi melalui sejauh mana pembangunan itu mendekatkan manusia kepada Allah dan memakmurkan kehidupan dengan nilai keadilan, ilmu dan akhlak.
Islam melihat kemajuan sebagai keseimbangan antara ‘imarah al ard (memakmurkan bumi) dan ta‘abbud lillah (pengabdian kepada Allah).
Dalam pandangan Islam, kemajuan bukan semata-mata hasil kemajuan material, tetapi proses menyeluruh yang disebut oleh ulama seperti Ibn Khaldun sebagai ‘Umran al-Bashari, iaitu pembangunan kemanusiaan dan tamadun.
Dari sinilah lahir konsep Maqasid ‘Umran, iaitu matlamat pembangunan yang selaras dengan tujuan syariat (Maqasid al-Shariah) bagi memastikan kesejahteraan dunia dan akhirat.
Makmurkan bumi
Allah berfirman: “Dia telah menciptakan kamu daripada bumi dan menjadikan kamu pemakmurnya.” (Hud:61)
Ayat ini menjadi asas kepada tanggungjawab manusia sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi dengan penuh tanggungjawab. Dalam kerangka Maqasid ‘Umran, kemajuan desa mesti berpaksikan pada empat tiang utama - ketakwaan, keadilan, ilmu, dan kesejahteraan.
Islam menolak pembangunan yang menindas, mencemar atau menzalimi manusia lain. Sebaliknya, setiap bentuk pembangunan sama ada infrastruktur, ekonomi, atau sosial, mesti berasaskan amanah dan maslahat umum (maslahah ‘ammah).
Desa yang membangun dalam Islam ialah desa yang makmur tanpa rasuah, berdaya saing tanpa menindas, dan berilmu tanpa hilang adab.
Masyarakat berperadaban
Konsep Maqasid ‘Umran ialah lanjutan daripada Maqasid al-Shariah. Jika Maqasid Shariah bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, maka Maqasid ‘Umran pula berfungsi memastikan kestabilan sosial dan kemakmuran tamadun.
Menurut Ibn Khaldun, ‘umran bermaksud pembinaan masyarakat berperadaban. Bukan sekadar kemajuan fizikal, malah kesejahteraan hubungan antara manusia dengan Tuhan, manusia sesama manusia, dan manusia dengan alam.
Maqasid ‘Umran menekankan kestabilan politik dan keadilan sosial pemimpin yang adil, amanah dan tidak menzalimi rakyat.
Ekonomi yang berkat dan inklusif serta ada usaha membasmi kemiskinan tanpa menindas alam atau manusia. Pembangunan ilmu dan moral kerana tamadun tidak berdiri tanpa ilmu dan adab.
Kelestarian alam dalam bentuk pembangunan mesti selaras dengan prinsip rahmah terhadap makhluk Allah.
Inilah asas yang perlu dihidupkan dalam pembangunan desa agar kemajuannya selaras dengan tujuan syarak dan falsafah Islam.
Kemajuan desa
Kemajuan desa bermula daripada pembangunan insan. Tanpa manusia yang berakhlak, berilmu dan berdisiplin, segala projek pembangunan hanyalah bangunan kosong tanpa jiwa.
Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (al-Ra‘d:11)
Pendidikan agama dan nilai mesti menjadi teras dalam agenda kemajuan desa. Masjid, surau dan institusi desa bukan sekadar tempat ibadah tetapi pusat transformasi sosial.
Di sinilah dibina kesedaran sivik, semangat gotong-royong dan kefahaman Islam yang menyeluruh sesuai dengan semangat ‘umran, iaitu membina tamadun berdasarkan ilmu dan akhlak.
Ekonomi
Islam tidak menolak kemajuan ekonomi, tetapi menuntut ia berlaku dalam ruang lingkup halal, adil, dan berkat.
Rasulullah bersabda: Sebaik-baik usaha ialah usaha seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang mabrur.” (Ahmad, hadis no: 17265)
Dalam kerangka Maqasid ‘Umran, ekonomi desa perlu menegakkan keadilan sosial (al-‘adl al-ijtima‘i) dan distribusi kekayaan yang seimbang.
Koperasi Islam, wakaf pertanian, zakat produktif dan sistem "mikrofinans" Islam (sistem kewangan individu dan peniaga kecil) boleh menjadi mekanisme membangunkan desa tanpa menindas golongan miskin.
Selain itu, Islam menggalakkan ekonomi lestari dengan tidak membazir sumber dan tidak mencemarkan bumi. Setiap usaha mencari rezeki mesti berpaksikan keberkatan, bukan kerakusan.
Perpaduan sosial
Kemajuan desa tidak akan bertahan tanpa perpaduan sosial.
Firman Allah: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (al-Ma’idah:2)
Desa Islam perlu hidup dengan budaya ukhuwah, tolong-menolong dan musyawarah. Tradisi gotong-royong, kenduri dan kerja bersama ialah manifestasi sosial Maqasid ‘Umran dapat membina kesejahteraan dan kepercayaan antara manusia.
Apabila masyarakat saling mempercayai, ekonomi berkembang, ilmu disebar luas dan keamanan terpelihara.
Inilah rahsia di sebalik kemajuan tamadun Islam silam yang dibina atas dasar solidariti dan rahmah.
Mesra alam
Islam melihat alam sebagai sebahagian daripada sistem ibadah. Pembangunan desa mestilah mesra alam berasaskan tanggungjawab khalifah terhadap bumi.
Rasulullah bersabda: “Jika berlaku kiamat dan di tangan salah seorang kamu ada benih kurma, maka tanamlah ia.” (al-Adab al-Mufrad, hadis no: 479)
Hadis ini menzahirkan bahawa memelihara bumi ialah tanggungjawab abadi. Dalam Maqasid ‘Umran, penjagaan alam dianggap salah satu syarat kemakmuran tamadun.
Desa yang menghargai sungai, tanah, hutan dan udara bersih sebenarnya sedang menegakkan nilai Islam dalam bentuk paling praktikal.
Sabda Nabi: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (al-Adab al-Mufrad, hadis no: 5377)
Dalam falsafah ‘umran, kepimpinan ialah tiang tamadun. Pemimpin desa mesti adil, amanah dan berjiwa rakyat. Tadbir urus yang telus, bebas rasuah, dan berpaksikan maslahat umum akan menjadikan pembangunan desa lebih stabil dan diberkati.
Panduan
Konsep Maqasid ‘Umran memberi kerangka menyeluruh untuk memahami kemajuan desa menurut Islam. Ia menegaskan bahawa pembangunan bukan hanya soal kemodenan, tetapi soal keberkahan, keadilan, dan kesejahteraan bersama.
Desa yang maju dalam Islam ialah desa yang rakyatnya hidup dalam iman, aman, dan adil; alamnya terpelihara; ekonominya berkat dan pemimpinnya berintegriti.
Dengan menjadikan Maqasid ‘Umran sebagai panduan, umat Islam dapat membangunkan desa yang bukan sahaja makmur di mata dunia, tetapi juga dirahmati Allah di sisi akhirat.
Itulah hakikat kemajuan sejati menurut kaca mata Islam kemajuan yang menegakkan tamadun di atas dasar takwa dan rahmah.




