ad

Sabak Bernam tapak rizab biosfera pertama negeri

8 Nov 2025, 3:02 AM
Sabak Bernam tapak rizab biosfera pertama negeri

Memiliki kepelbagaian biologi selain habitat flora dan fauna, tadahan air, pengawal banjir dan penstabil iklim mikro di utara Selangor, 81 hektar hutan simpan berpeluang menjadi tapak rizab biosfera pertama negeri.

Ia meliputi Hutan Simpan Kuala Bernam, Hutan Simpan Banjar Utara, Hutan Simpan Bukit Tarek, Hutan Simpan Bukit Belata, Hutan Paya Gambut Utara Selangor dan Taman Alam Kuala Selangor.

Rizab tersebut ada tiga zon iaitu teras (kawasan perlindungan mutlak), penampan (aktiviti terkawal) dan peralihan (pembangunan lestari) yang mewujudkan sistem ekologi berdaya tahan.

Cadangan mewujudkan rizab tersebut seiring komitmen Kerajaan Selangor untuk mengekal sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan hutan simpan kekal sebagai asas kelestarian negeri.

Jika berjaya, pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu menjadikan Selangor negeri kelima di Malaysia memiliki status tersebut.

Lokasi di negeri lain yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Tasik Chini di Pahang pada 2009, Banjaran Crocker dan Kinabatangan di Sabah (2014 dan 2025) dan Bukit Bendera di Pulau Pinang (2021).

Ketua Penyelidik Pencalonan Rizab Biosfera, Prof Dr Siti Azizah Mohd Nor dari Universiti Malaysia Terengganu

Menurut Ketua Penyelidik Pencalonan Rizab Biosfera, Prof Dr Siti Azizah Mohd Nor dari Universiti Malaysia Terengganu, inisiatif itu bertujuan mengimbangi hubungan antara manusia, alam sekitar dan pembangunan yang dianggap sebagai makmal hidup.

“Ia bukan sekadar kawasan perlindungan hutan atau hidupan liar tetapi juga tempat yang menunjukkan bagaimana masyarakat boleh membangunkan ekonomi tanpa menjejaskan ekosistem.

“Kami sedang melengkapkan data lapangan dan menghantar pencalonan rasmi kepada UNESCO pada tahun hadapan,” katanya dalam forum pencalonan Rizab Biosfera UNESCO di anjung utara Selangor ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor pada 10 Oktober.

Semua 81 hektar hutan simpan itu ada dalam kerangka Rancangan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 2023.

Bertujuan menarik pelaburan RM1.9 bilion, SABDA memberi tumpuan kepada sektor agro-makanan, perikanan dan eko-pelancongan bagi mewujudkan peluang kerja berpendapatan tinggi.

Perancangan itu juga selari teras ketiga Rancangan Selangor 1 (RS-1) iaitu pemacuan kelestarian.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad

Cabaran

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad pula juga menjelaskan rizab biosfera adalah pendekatan yang menggabungkan pemeliharaan biodiversiti, pembangunan ekonomi dan pemberdayaan masyarakat tempatan dalam sistem tadbir urus yang holistik.

Namun, beliau mengakui pencalonan itu berdepan cabaran. Azhar merujuk keputusan nyahwarta Hutan Simpan Kekal Hulu Langat Utara (HSKLU) yang menjadi kontroversi pada 2020. Namun, penyahwartaan itu dibatal setahun kemudian. Hanya sebahagian kecil dinyahwarta.

Malah, Selangor mewarta kawasan gantian seluas 581.48 hektar di lokasi lain antaranya Hutan Simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah dan Bukit Broga sebagai hutan simpanan kekal yang baharu.

Sebaliknya, beliau yakin pengiktirafan sedemikian bakal meletakkan Sabak Bernam sebagai daerah pertanian utama negara, tambahan pula lebih 70 peratus guna tanahnya untuk padi, kelapa dan kelapa sawit.

Lebih-lebih lagi, kawasan utara negeri memiliki ekosistem unik seperti hutan paya gambut, hutan paya laut dan sungai yang berfungsi sebagai benteng semula jadi terhadap perubahan iklim.

“Usaha berkenaan tetap diteruskan dengan pendekatan berhati-hati agar tidak menjejaskan hasrat negeri mendapatkan pengiktirafan UNESCO,” kata Azhar lagi yang turut menjadi ahli panel.

Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Mohd Azreen Ariffin

Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Mohd Azreen Ariffin pula menyifatkan SABDA sebagai instrumen penting dalam mengimbangi keperluan pembangunan dan pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar.

“Rancangan ini memastikan setiap projek pembangunan dirancang berdasarkan zon guna tanah yang jelas. Paya gambut, hutan simpan dan kawasan pesisir diletakkan di bawah perlindungan bagi menjamin kesejahteraan alam dan sumber air jangka panjang,” katanya.

MDSB juga mengadakan program pemuliharaan berterusan antaranya penanaman pokok bakau dan berembang yang menstabilkan ekosistem sungai dan habitat kelip-kelip di Sungai Bernam dan Sungai Panjang.

Sejak 2024, sebanyak 1,200 pokok bakau dan 650 pokok berembang ditanam melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, masyarakat tempatan dan badan bukan kerajaan.

Pengiktirafan UNESCO itu bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi hijau di utara Selangor.

Keyakinan itu diluahkan EXCO Kemajuan Desa dan Kebudayaan, Datuk Rizam Ismail. Bahkan beliau percaya Sabak Bernam akan menjadi pusat pertumbuhan baharu berasaskan kesejahteraan alam.

“Kita mahu pembangunan yang tidak menjejaskan warisan semula jadi, malah menjadikannya nilai tambah kepada ekonomi tempatan,” katanya yang berazam menjadikan daerah itu model ekonomi hijau inklusif untuk diteladani negeri lain.

Kesungguhan tersebut juga melambangkan manifestasi Kerajaan Selangor betapa kemajuan tidak seharusnya mengorbankan kelestarian alam sekitar.