SHAH ALAM, 4 NOV: Purata kos rawatan seorang pesakit berkaitan EVALI (E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury) berpunca rokok elektronik termasuk vape dianggarkan mencecah RM150,892 dengan tempoh kemasukan ke hospital selama 12 hari.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejak penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu, sebanyak enam kes EVALI dilaporkan, menjadikan keseluruhan 46 kes sejak 2019.
“Anggaran kos rawatan yang tinggi itu menunjukkan beban kewangan besar ditanggung Kementerian Kesihatan (KKM) akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dan rokok elektronik,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak yang ingin mengetahui statistik kes EVALI selepas Akta 852 dikuatkuasakan serta perbandingan hasil cukai nikotin dengan kos rawatan.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, kos rawatan pesakit EVALI dianggarkan mencecah RM223.5 juta, lebih tinggi berbanding kutipan hasil cukai nikotin produk vape iaitu RM209.5 juta sejak April 2023 hingga Ogos 2025.
“Berdasarkan data Kementerian Kewangan (MOF), kadar duti eksais bagi cecair atau gel yang mengandungi nikotin dikenakan sebanyak 40 sen setiap mililiter bermula 1 April 2023,” katanya.
Dzulkefly menegaskan KKM akan terus memantau kesan penggunaan vape terhadap kesihatan awam serta memperkukuh kawalan melalui pelaksanaan Akta 852.
Penyakit EVALI ialah kecederaan paru-paru susulan penggunaan rokok elektronik atau produk vape dengan gejala seperti batuk, sesak nafas, demam dan sakit dada yang berlaku apabila bahan kimia dalam cecair vape menjadi panas dan menghasilkan bahan merosakkan lapisan paru-paru.




