Di sebalik tepukan gemuruh penonton, masih ada anak seni yang diminta membuat persembahan tanpa sebarang bayaran kononnya demi publisiti atau pendedahan.
Itulah realiti pahit yang menghantui ramai penggiat seni khususnya pemuzik tempatan.
Tidak terkecuali pemain biola profesional, Endang Hyder, 39, sudah lebih tiga dekad bergiat aktif dalam dunia muzik.
Dedahnya, masih wujud segelintir pihak mengambil kesempatan terhadap anak seni, dengan alasan kononnya peluang itu ‘membuka jalan’ ke pentas lebih besar.
“Saya masih ingat masa itu mereka kata, ‘mainlah, exposure untuk you’. Tapi rupa-rupanya mereka yang dapat bayaran.
"Masa itu baru saya sedar, tak semua yang nampak baik itu ikhlas,” ujarnya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Ada juga segelintir individu sanggup menunggang nama tokoh atau penaja bagi mendapatkan persembahan percuma daripada artis tempatan.
“Kalau betul-betul untuk kebajikan atau amal, saya tak kisah. Tapi kalau guna nama orang lain untuk kepentingan sendiri, itu tak wajar,” tegasnya.
Endang menegaskan seni juga satu kerjaya, bukan kerja suka-suka yang boleh dianggap percuma.
“Di luar negara, muzik dianggap bidang yang tinggi nilainya. Harap masyarakat kita pun belajar menghargai anak seni dengan cara yang betul,” katanya.

Nilai seni
Pengalaman membuat persembahan di Pahang beberapa tahun lalu detik paling bermakna dalam hidup Endang.
Dia berusia 21 tahun ketika itu hanya dibayar RM20 untuk menghiburkan penduduk kampung dalam majlis kecil. Namun, persembahan sederhana itu akhirnya mengubah pandangannya tentang nilai sebenar seni.
“Saya masih ingat, saya dibayar RM20 sahaja. Tapi bila Datuk Seri Adnan Yaakob (bekas menteri besar Pahang) hadir dan dengar saya main, beliau begitu suka.
"Lepas itu beliau panggil saya dan kata, ‘takkan nilai kamu setakat ini saja’, lalu beliau menambah bayaran hingga lima angka,” katanya.
Pengalaman itu menjadikannya lebih yakin betapa nilai anak seni hanya dihargai sewajarnya apabila berada di tempat betul.
Endang juga percaya tiada ciptaan moden yang mampu menggantikan sentuhan manusia dalam seni.

Pengaruh AI
Walaupun kecerdasan buatan (AI) boleh menghasilkan muzik dengan cepat, karya sebegitu tidak mempunyai jiwa seperti hasil kreativiti manusia.
“Sekarang ramai guna AI untuk hasilkan lagu, tapi siapa yang dengar akan tahu ada sesuatu yang tak kena. Bunyinya macam robot,” katanya.
Tidak menolak penggunaan teknologi, Endang berpegang kepada prinsip seni harus lahir daripada hati dan perasaan.
“Saya boleh terima AI, tapi saya tidak akan mengkhianati seni itu sendiri. Kita ni manusia, diciptakan oleh Allah dengan jiwa dan perasaan. Jadi kenapa nak bergantung pada ciptaan kita sendiri yang tak ada rasa?”
Bagi Endang, AI mungkin boleh membantu, tetapi seni sebenar tetap perlu dihasilkan secara manusiawi.
“Bila gesek biola pun, kalau tak ada rasa, takkan sama. Itu beza manusia dengan mesin,” ujarnya.
Daripada isu eksploitasi hingga cabaran dunia digital, perjalanan Endang Hyder menggambarkan perjuangan anak seni yang teguh pada prinsip ikhlas berkarya dan mempertahan maruah seni.
“Saya percaya bila kita buat sesuatu dengan hati, orang akan rasa. Nilai sebenar seni bukan pada harga, tapi pada kejujuran kita berkarya,” katanya.




