ad

Aplikasi InfaqYide bakal berwajah baharu, transaksi lebih pantas dan telus

6 Nov 2025, 4:41 AM
Aplikasi InfaqYide bakal berwajah baharu, transaksi lebih pantas dan telus

SHAH ALAM, 6 NOV: Aplikasi InfaqYide bakal tampil dengan versi baharu yang menawarkan pengalaman lebih mesra pengguna, pantas serta lebih selamat bagi memudahkan masyarakat berinfaq secara dalam talian.

Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dalam kenyataan memberitahu versi baharu aplikasi itu akan dilancarkan secara rasmi pada 10 November dan boleh dimuat turun di AppStore serta PlayStore.

Menurutnya, InfaqYide mengekalkan prinsip ketelusan dan kebolehpercayaan dengan menambah baik sistem keselamatan serta paparan transaksi yang lebih teratur.

“Versi baharu ini dibangunkan bagi memastikan urusan infaq berjalan lebih mudah dan efisien tanpa caj tersembunyi, sejajar dengan matlamat menjadikan platform ini sebagai pusat sehenti amal digital rakyat Selangor,” katanya.

Yide memaklumkan pengguna sedia ada masih boleh menggunakan kata laluan (password) lama untuk log masuk ke aplikasi baharu, manakala baki kredit dalam akaun terdahulu akan dikekalkan sepenuhnya.

Senarai institusi pilihan penerima infaq juga akan dikemas kini dari semasa ke semasa, selaras dengan pendaftaran baharu institusi kebajikan di bawah yayasan itu.

Sejak diperkenalkan pada 2022, InfaqYide menghimpunkan lebih 500 institusi termasuk maahad tahfiz, rumah anak yatim, rumah kebajikan, masjid dan surau di seluruh negeri.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi 017-756 9451 (Haziq) atau 017-756 9478 (Akmal).