ad

Karnival Ban Canal pacu ekonomi luar bandar, lonjak pendapatan usahawan tempatan

6 Nov 2025, 4:00 AM
Karnival Ban Canal pacu ekonomi luar bandar, lonjak pendapatan usahawan tempatan
Karnival Ban Canal pacu ekonomi luar bandar, lonjak pendapatan usahawan tempatan
Karnival Ban Canal pacu ekonomi luar bandar, lonjak pendapatan usahawan tempatan
Karnival Ban Canal pacu ekonomi luar bandar, lonjak pendapatan usahawan tempatan

SHAH ALAM, 6 NOV: Penganjuran Karnival Ban Canal bukan sekadar acara riadah dan pelancongan semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata sejak diperkenalkan pada 2022, karnival berkenaan memberi impak positif kepada peniaga kecil, pengusaha inap desa serta pengusaha makanan dan hasil tani di sekitar Sabak Bernam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Impak ekonomi daripada karnival ini mungkin tidak berlaku serta-merta, tetapi kesannya semakin meluas dari tahun ke tahun,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, Ban Canal bukan sekadar menghidupkan sektor pelancongan luar bandar, malah berperanan memperkenalkan semula makanan tradisi dan produk tempatan kepada pasaran lebih luas.

“Dulu ramai tidak kenal makanan tradisi punten. Selepas diperkenalkan di Karnival Ban Canal, kini punten dijual di banyak tempat termasuk Sungai Buloh dan Kubu Gajah.

“Kita juga lihat industri kecil seperti kerepek, bahulu dan hasil tani semakin berkembang hasil promosi melalui Ban Canal,” katanya.

Saipolyazan turut memaklumkan sebanyak 144 inap desa (homestay) berdaftar dengan kapasiti hampir 800 tetamu menerima tempahan penuh setiap kali karnival berlangsung, menandakan limpahan ekonomi yang semakin ketara.

“Pendek kata, mereka yang bijak merebut peluang melalui karnival ini mampu memperkukuh perniagaan dan menjana pendapatan lebih tinggi,” ujarnya.

Karnival Ban Canal 2025 dijadual berlangsung mulai esok hingga Ahad di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam, dengan jangkaan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Program anjuran MBI melalui inisiatif Sabak Bernam Development Area (SABDA) itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk lari bendang, sukan air dan rakyat, persembahan seni budaya, jualan usahawan tempatan serta segmen Bicara Malam Jumaat yang menjadi acara kemuncak setiap tahun.

“Sambutan luar biasa terhadap edisi terdahulu membuktikan Ban Canal bukan sekadar platform hiburan rakyat, sebaliknya wadah memperkukuh jaringan ekonomi tempatan dan memperkenalkan potensi utara Selangor sebagai destinasi pelancongan baharu,” katanya.

Saipolyazan optimis Ban Canal terus menjadi acara ikonik negeri dengan gabungan keunikan budaya, semangat komuniti dan peluang ekonomi luar bandar yang semakin berkembang pesat.

“Setiap tahun sambutannya semakin meningkat. Pengunjung datang bukan hanya untuk beriadah, tetapi menikmati keunikan budaya dan keakraban komuniti yang menjadi nadi kepada karnival ini,” katanya lagi.