SHAH ALAM, 6 NOV: Tindakan sebuah resort mewah di Sekinchan yang dipercayai melakukan sambungan paip haram sejak setahun lalu terbongkar hasil operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Menurut laporan Sinar Harian, kegiatan resort yang terletak di tengah kawasan sawah padi dan sering menjadi tumpuan pelancong itu dikesan selepas pihak berkuasa mendapati tekanan air rendah serta bacaan bil tidak sepadan dengan kadar penggunaan sebenar.
Pengarah Komunikasi Strategik SPAN Ts Mohd Fazil Ismail berkata pemeriksaan mendapati terdapat sambungan paip haram sepanjang 600 meter di luar pagar resort berkenaan.
“Bil air resort itu pernah direkodkan serendah RM36 sebulan, jumlah tidak masuk akal bagi premis penginapan yang mempunyai lebih 40 bilik, dewan dan kafe. Berdasarkan purata penggunaan, bil sepatutnya sekitar RM3,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut menemui tiga paip disambung masuk ke dalam kawasan resort, namun salah satu telah diputuskan sebelum operasi dijalankan.
Pemilik premis mendakwa tidak mengetahui kewujudan sambungan haram berkenaan kerana baru mengambil alih bangunan itu daripada pemilik asal yang sebelum ini mengusahakan sarang burung walet.
Tambah Mohd Fazil, pasukan siasatan mengambil masa hampir enam jam bagi mengesan punca sambungan haram dari saluran utama sejauh kira-kira 600 meter.
Pemilik resort berkenaan bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) pindaan 2025 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain resort itu, SPAN dan Air Selangor turut mengesan dua lagi premis melakukan kesalahan sama iaitu sebuah kolam memancing di Desa Kemuning, Shah Alam dan sebuah depoh logistik di Klang.
Di kolam memancing, siasatan menemui paip bawah tanah yang disambung tanpa meter sah bagi menyalurkan air dalam jumlah besar setiap hari untuk menukar air kolam serta mencuci kawasan.
“Bekalan air ke premis tersebut telah dihentikan serta-merta. Pemilik diarahkan menjelaskan tunggakan sebenar sebelum sambungan semula dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, di depoh logistik Klang, Mohd Fazil berkata pemilik dikesan membuat sambungan terus dari saluran utama menggunakan penyambung khas tanpa sebarang meter berdaftar.
“Premis industri seperti ini menggunakan air dalam jumlah tinggi. Apabila curi air, bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada operator, malah menjejaskan tekanan air di kawasan perumahan berhampiran,” ujarnya.





