SHAH ALAM, 5 NOV: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa isu pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan ditolak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) disifatkan langkah berisiko tinggi kepada bola sepak negara.
Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, tindakan mencabar keputusan FIFA itu bukan jalan terbaik kerana boleh mengundang padah sekiranya FAM digantung.
“Sekarang ini FIFA sudah menolak rayuan FAM. Prosedur seterusnya hanya tinggal ke CAS, namun bagi saya langkah itu bukanlah terbaik.
“Implikasinya, organisasi kita mungkin digantung juga. Bila itu berlaku, semua aktiviti bola sepak termasuk Liga Malaysia terhenti serta-merta,” katanya ketika ditemui pada majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau menasihatkan FAM agar menerima keputusan itu dan mengakui wujudnya kelemahan tanpa perlu menafikan kesilapan yang berlaku.
Azzuddin turut menjelaskan bahawa bukti dan dokumentasi dikemukakan FIFA berhubung isu tersebut sudah cukup jelas dan sukar disangkal.
“Kalau diteruskan, saya bimbang ia akan menimbulkan lebih banyak persoalan termasuk mengaitkan jabatan kerajaan seperti pendaftaran serta imigresen. FIFA sudah kemukakan bukti kukuh, jadi tak perlulah kita melawan arus,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan menggantung tujuh pemain negara serta mengenakan denda terhadap FAM selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM turut dikenakan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — masing-masing digantung 12 bulan dan didenda 2,000 Swiss franc (sekitar RM10,800).





