PETALING JAYA, 4 NOV: Seorang lelaki warga Myanmar berusia 31 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dalam kejadian di Taman Industri Pusat Bandar Puchong pada 13 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa selepas suspek menuduh mangsa mengambil wang tunai RM10 yang dimenangi bersama dalam pertandingan bola tampar.
“Dalam kejadian itu, mangsa ditikam sehingga maut di lokasi kejadian,” menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Facebook.
Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Kemaman berjaya menahan suspek berhampiran perhentian bas di Chukai, Kemaman pada 14 Oktober.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta beberapa helai pakaian yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta maksimum 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret Amira Sariaty Zainal tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.




