SHAH ALAM, 5 NOV: Isu melibatkan tujuh pemain warisan masih belum berakhir apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdepan satu lagi kes berasingan di Tribunal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain rayuan yang ditolak badan induk dunia itu baru-baru ini.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, mengesahkan FAM berdepan dua proses berbeza di peringkat FIFA yang masih berjalan dan perlu diselesaikan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil, lapor Harian Metro.
“FAM sebenarnya berhadapan dengan dua kes di FIFA, iaitu berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen serta satu lagi kes di Tribunal FIFA yang masih dalam proses,” katanya.
Beliau menjelaskan, kes di Tribunal FIFA lebih menjurus kepada isu kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia (eligibility to represent Malaysia), dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh panel berkenaan.
“Kes di Tribunal FIFA berkait dengan kelayakan pemain. Selepas keputusan dikeluarkan nanti, termasuk jika dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), barulah AFC dapat meneliti tindakan susulan,” katanya.
Untuk makluman, Tribunal FIFA berfungsi sebagai ‘mahkamah dalaman’ badan induk dunia itu bagi meneliti kes melibatkan tatatertib, rayuan, status pemain dan kelayakan.
Dalam konteks kes FAM, isu berkenaan kini di bawah panel status pemain serta kelayakan yang akan menilai semula dokumen pendaftaran tujuh pemain terbabit dan meneliti sama ada mereka memenuhi syarat mewakili Malaysia.
Difahamkan, FAM berdepan tiga kemungkinan iaitu hukuman kekal, diringankan atau ditambah, bergantung kepada hasil semakan dokumen dan penilaian tribunal terhadap elemen niat dalam pendaftaran pemain.
Menurut Windsor, proses berkenaan dijangka mengambil masa kerana setiap peringkat perlu melalui penelitian rapi, termasuk sekiranya FAM membawa kes itu ke CAS selepas ini.
“Masih banyak proses yang perlu dilalui oleh FAM dan tujuh pemain terbabit. Keputusan rayuan sebelum ini bukan pengakhiran,” katanya.
Terdahulu, harapan FAM mengubah keputusan penggantungan dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA musnah apabila rayuan ditolak.
Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam keputusan terbaharu mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM serta penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang terhadap tujuh pemain atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.




