SHAH ALAM, 5 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor hari ini mengutip RM277,030 menerusi Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 3 tahun ini, sekali gus melebihi nilai rizab keseluruhan berjumlah RM133,580.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata lelongan itu, melibatkan 200 unit kenderaan yang disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh ditetapkan.
“Kenderaan yang dilelong ini sudah melalui proses pelucutan hak mengikut prosedur termasuk pemakluman kepada pemilik, permohonan pelucutan hak serta perintah mahkamah, sebelum ia dibenarkan untuk dilelong kepada orang awam.
“Daripada jumlah kenderaan yang dilelong, 175 unit motosikal, diikuti lapan kereta, tujuh van panel, sembilan lori rigid dan sebuah penggerak utama,” katanya pada sidang media selepas sesi lelongan di Ibu Pejabat JPJ Selangor, di sini hari ini.
Azrin berkata lelongan itu melengkapkan penganjuran siri Lelongan Awam JPJ bagi 2025, selepas dua siri lelongan terdahulu berjaya menjual 243 unit kenderaan dengan jualan keseluruhan RM313,140.
Dalam perkembangan sama, Azrin menyeru pemilik kenderaan yang disita untuk hadir membuat tuntutan, sebelum sesuatu kenderaan melalui proses pelucutan hak.
Beliau berkata JPJ sentiasa memberi tempoh dan ruang kepada pemilik untuk menebus kembali kenderaan masing-masing, namun apabila tempoh diberikan tamat, tindakan lelongan merupakan langkah terakhir dibuat mengikut undang-undang.
Mengulas mengenai perkembangan kes insiden kemalangan membabitkan sebuah lori di Bukit Cerakah, Meru pada 21 Oktober lalu, Azrin berkata Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) kenderaan terlibat masih dijalankan, manakala tindakan terhadap pemandu lori berada di bawah siasatan polis.
Beliau berkata JPJ Selangor turut menempatkan anggota penguat kuasa secara statik dan bergerak di kawasan terlibat sejak dua minggu lalu bagi pemantauan dan kawalan trafik.
“Kita melaksanakan pemantauan dari 8 pagi hingga 11 malam setiap hari, bagi memastikan pematuhan dan kelancaran pergerakan kenderaan perdagangan di kawasan sekitar,” katanya.
Dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan tersebut, enam individu cedera termasuk seorang patah kaki, akibat dirempuh lori membawa muatan tanah hilang kawalan ketika menuruni bukit dan terbabas serta menggelungsur sebelum melanggar tiga kenderaan lain di simpang empat lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah/Jalan Seri Jaya, Meru, Klang.




