ad

Selangor perhebat operasi pemutihan kilang tanpa kebenaran, sasar tangani 70 peratus menjelang 2027

5 Nov 2025, 9:35 AM
Selangor perhebat operasi pemutihan kilang tanpa kebenaran, sasar tangani 70 peratus menjelang 2027
Selangor perhebat operasi pemutihan kilang tanpa kebenaran, sasar tangani 70 peratus menjelang 2027
Selangor perhebat operasi pemutihan kilang tanpa kebenaran, sasar tangani 70 peratus menjelang 2027

SHAH ALAM, 5 NOV: Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus kilang tanpa kebenaran (KTK) diputihkan menjelang 2027, sebagai langkah memastikan sektor perindustrian beroperasi secara sah, tersusun dan selamat.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata usaha pemutihan itu dilaksanakan menerusi pendekatan ganjaran dan hukuman dengan memberi ruang kepada pengusaha tampil secara sukarela berurusan dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta pihak berkuasa tempatan bagi mengesahkan operasi masing-masing.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya harap lebih ramai pengilang dan pengusaha tampil berjumpa pihak berkuasa bagi memutihkan kilang mereka supaya dapat menjalankan perniagaan secara sah,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Menurutnya, dua operasi penguatkuasaan KTK yang dijalankan baru-baru ini berjaya mencapai matlamat dan menunjukkan ketegasan Kerajaan Negeri terhadap pematuhan undang-undang dalam sektor industri.

“Dalam hampir 20 tahun sebelum ini, hanya sekitar 35 peratus kilang berjaya diputihkan. Namun dengan langkah lebih tersusun serta kerjasama pelbagai pihak, kita yakin mampu capai sasaran melebihi 70 peratus menjelang 2027,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan pematuhan undang-undang tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan hasil negeri apabila lebih banyak kilang beroperasi secara sah.

Antara insentif yang ditawarkan kepada pengusaha ialah diskaun 30 peratus bagi premium tanah, caj kemajuan dan Dana Penambahbaikan Perkhidmatan.

Operasi perobohan terhadap kilang haram di Sungai Buloh pada 7 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Namun, sekiranya pengusaha gagal mengambil peluang dalam tempoh ditetapkan, tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran Borang 7 dan 8A serta perampasan tanah akan dilaksanakan,” tegasnya.

Suee Lim turut menegaskan, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur terhadap pengusaha kilang haram yang menceroboh tanah rizab kerajaan.

“Persepsi bahawa Kerajaan Negeri hanya memberi notis tanpa tindakan akan lenyap apabila penguatkuasaan dijalankan. Langkah ini bukan untuk menghukum, tetapi memulihkan tanah kerajaan dan rizab sungai demi kepentingan awam,” ujarnya.