ad

Tempuh perjalanan 100km demi cinta pada seni silat

7 Nov 2025, 7:00 AM
Tempuh perjalanan 100km demi cinta pada seni silat
Tempuh perjalanan 100km demi cinta pada seni silat

Setiap tumbukan dan tendangan serta titisan keringat menjadi saksi kepada anak muda dari Kampung Kuantan, Bestari Jaya, Selangor dalam dunia persilatan.

Cerita Muhammad Azmeer Daniel Izzudin Shah Samsudin bermula ketika berusia 13 tahun, saat langkah pertama di gelanggang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Harun.

Dari situ, cinta anak ketiga daripada empat beradik terhadap seni bela diri itu mula bersemi.

Pada usia 20 tahun, semangat juangnya tidak pernah pudar meskipun perjalanan menuju kejayaan penuh liku dan cabaran.

“Untuk memberi prestasi terbaik, saya perlu melakukan banyak pengorbanan terutamanya dari segi masa dan kewangan.

"Setiap kali terdapat sesi latihan beramai-ramai, saya perlu berulang dari universiti saya di Rembau, Negeri Sembilan ke Shah Alam, Selangor.

"Terdapat juga masa yang mengganggu waktu pembelajaran serta waktu sosial saya bersama kawan,” katanya.

Lebih 100 kilometer perjalanan ditempuh setiap minggu hanya demi satu tujuan — memperbaiki diri dan menajamkan kemahiran.

Saat rakan sebaya menikmati waktu santai, Azmeer menempuh perjalanan jauh dengan semangat yang tak pernah luntur.

Selain masa, cabaran kewangan juga menuntut ketabahan. Kos pengangkutan, makanan, dan latihan semuanya ditanggung sendiri.

“Kalau kira penat dan duit, memang banyak yang habis. Tapi saya anggap ini pelaburan untuk masa depan,” ujarnya.

Muhammad Azmeer Daniel Izzudin Shah Samsudin bersama rakan seangkatan ketika sesi latihan bagi persiapan SUKMA Selangor di Kompleks Sukan Sukses Shah Alam pada 29 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Kawal makan demi pertandingan

Namun perjuangan sebenar bukan sekadar pada jarak dan wang. Tubuhnya sendiri menjadi medan pengorbanan — lebam, terseliuh, dan sakit menjadi teman biasa.

“Kalau cedera, saya anggap ia proses pembelajaran. Saya akan perbaiki teknik dan jaga pemakanan supaya tak berulang,” katanya, menggambarkan keteguhan pesilat sejati.

Cabaran lain yang sering tidak disedari ialah mengawal berat badan untuk kekal dalam kategori pertandingan.

“Ramai tak tahu, cabaran utama dalam silat adalah untuk mengawal berat badan supaya dapat bertanding dalam kategori kelas berat yang diingini.

"Saya jenis suka makan, jadi susah nak kawal. Tapi saya kena pastikan diet saya seimbang supaya prestasi tak terganggu,” jelasnya.

Lapan tahun berkecimpung dalam dunia persilatan membawa Azmeer kepada pelbagai kejayaan manis, antaranya pingat gangsa di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, emas di Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2023.

Selain itu, pingat perak di Kejohanan Silat Kebangsaan Terengganu 2023, emas di Pra-SUKMA Perlis, serta emas di Kejohanan Super UiTM 2025 dan emas di Kejohanan Sukan Selangor Ke-15 (2025).

“Segala pengalaman ini bukan sekadar koleksi kejayaan, tetapi juga medan ujian yang mengajar saya tentang erti kesabaran, kekuatan fizikal, dan ketahanan mental,” ujarnya.

Muhammad Azmeer Daniel Izzudin Shah Samsudin dan rakan seangkatan mendengar takilmat jurulatih Pencak Silat Selangor, Dzulnizam Sogol di Kompleks Sukan Sukses Shah Alam pada 29 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Giat jalani latihan SUKMA 2026

Kini, Azmeer giat menjalani latihan dengan harapan besar untuk kembali ke gelanggang SUKMA dan menutup lembaran sebagai pesilat dengan kejayaan berganda.

“Insya-Allah, saya akan bertanding buat kali terakhir dan saya mahu berikan yang terbaik untuk Selangor,” katanya penuh tekad.

Bagi Azmeer, silat bukan hanya sukan mempertahan diri — ia madrasah kehidupan.

“Dalam silat, sebelum apa-apa kita perlukan hati. Semangat itu yang bantu kita kekal kuat — bukan hanya fizikal, tapi juga mental,” tegasnya.

Motivasi yang datang daripada insan paling dekat di hati - ibu bapa dan pasukan yang menjadi nadi perjuangan.

“Mereka adalah sokongan utama saya dan sentiasa ada untuk bantu serta bimbing saya. Jurulatih dan rakan pasukan juga banyak beri dorongan sebab mereka faham tekanan dunia ini,” katanya.

Bagi Azmeer, silat mengajarnya erti disiplin, sabar dan tanggungjawab.

“Tak kira apa pun kita buat, usaha mesti konsisten. Jangan bergantung pada bakat semata-mata. Hidup ini ada turun naik, tapi yang penting jangan pernah putus asa.

"Jadilah pesilat yang berilmu dan beradab, bukan sekadar yang hebat di gelanggang tetapi berakhlak mulia di mana pun berada. Bak kata ayah saya 'ikutlah resmi padi semakin menunduk, semakin berisi'."