ad

Kerajaan tanggung subsidi tiket penerbangan RM19.5 juta sempena musim perayaan tahun ini

5 Nov 2025, 7:54 AM
Kerajaan tanggung subsidi tiket penerbangan RM19.5 juta sempena musim perayaan tahun ini

SHAH ALAM, 5 NOV: Kementerian Pengangkutan memperuntukkan sebanyak RM19.5 juta bagi menampung subsidi tiket penerbangan domestik sempena musim perayaan tahun depan.

Langkah itu melibatkan 39,744 tiket penerbangan di bawah inisiatif kerajaan bagi memastikan tambang kekal mampu milik, khususnya bagi rakyat yang pulang ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan utama.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, subsidi tersebut membolehkan harga maksimum tiket penerbangan yang perlu dibayar penumpang hanyalah RM499, walaupun purata harga sebenar mencecah RM990.

“Subsidi ini menampung purata RM491 bagi setiap tiket yang layak,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan subsidi tambang ini merupakan kesinambungan dasar kerajaan bagi meringankan beban kos perjalanan rakyat semasa musim perayaan.

Pada tahun ini (2024), kerajaan menyalurkan RM11 juta untuk 26,993 tiket penerbangan yang melebihi had siling RM599, dengan subsidi purata sebanyak RM408 setiap tiket, manakala harga purata sebenar mencecah RM1,007.

Anthony berkata, subsidi tahun ini telah dilaksanakan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan, dan akan diteruskan bagi perayaan Krismas bulan depan.

Beliau turut mengakui masih ramai penumpang tidak menyedari jumlah subsidi besar yang telah diperuntukkan kerajaan bagi membantu mereka menikmati tambang berpatutan.

“Bagi meningkatkan kesedaran, Kementerian Pengangkutan akan berbincang dengan syarikat penerbangan untuk mencari mekanisme terbaik memaklumkan kepada penumpang mengenai jumlah subsidi yang telah memanfaatkan mereka,” jelasnya.