ad

Belanjawan Selangor 2026 fokus ekonomi dan infrastruktur desa

8 Nov 2025, 12:00 AM
Belanjawan Selangor 2026 fokus ekonomi dan infrastruktur desa

SHAH ALAM, 8 NOV: Belanjawan Selangor 2026 dijangka memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf infrastruktur luar bandar, memperluas capaian internet serta mengukuhkan ekonomi desa, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Perpaduan dan Koperasi, Datuk Rizam Ismail.

Beliau berkata agenda pemberdayaan ekonomi desa kekal menjadi fokus utama Kerajaan Negeri bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui pelbagai inisiatif khas kepada usahawan, termasuk bantuan memulakan serta mengembangkan perniagaan.

“Antara keutamaan adalah bantuan kepada peniaga desa seperti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta bimbingan yang dapat memperkukuh aktiviti ekonomi setempat,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Rizam, tumpuan turut diberikan kepada kerja baik pulih dan naik taraf infrastruktur usang, termasuk jalan luar bandar, laluan kebun dan ladang yang menjadi nadi pergerakan hasil pertanian.

“Selain infrastruktur asas, jaringan internet luar bandar juga perlu diperluas. Kita turut mencadangkan penambahan Pusat Smart Desa di kampung yang mempunyai pengurusan terbaik bagi manfaat komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kesinambungan Program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) Siri 2 akan diteruskan dengan pendekatan lebih menyeluruh dan berfokus kepada penyelesaian isu setempat.

“Pelaksanaannya bukan sekadar lawatan, tetapi memberi tumpuan kepada inisiatif baharu yang menyentuh semua lapisan masyarakat. Perincian sedang diperhalusi bersama Kerajaan Negeri, pejabat Dato' Menteri Besar serta pihak istana agar memberi impak lebih jelas kepada rakyat,” ujarnya.

Rizam turut menjangka Belanjawan 2026 akan memberi perhatian terhadap pengukuhan gerakan koperasi negeri, termasuk membangunkan ekosistem rantaian bekalan yang lebih tersusun dan berdaya saing.

“Koperasi antara perkara yang saya letakkan harapan besar. Ia mungkin mengambil masa, tetapi boleh direalisasikan melalui pewujudan identiti ekosistem Koperasi (CO-OP) Selangor sebagai projek rintis,” katanya.

Beliau menambah, Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) akan terus diperkasa dan berharap Kerajaan Negeri menyediakan dana permulaan bagi menggalakkan pelaburan dalam projek berpotensi.

“SABDA adalah agenda penting dan Dato’ Menteri Besar sendiri memberi penekanan tinggi terhadap pelaksanaannya. Diharap ada suntikan dana untuk merancakkan pelaburan di kawasan ini,” katanya.

Rizam yakin Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentang pada 14 November ini akan dirangka secara seimbang dan mesra rakyat.

“Selangor ini ibarat ‘mini Malaysia’, sudah pasti belanjawan negeri amat dinantikan. Saya yakin Dato’ Seri Amirudin Shari sedang merangka belanjawan yang memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.