SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak RM7.9 bilion diperuntuk dalam Belanjawan 2026 bagi menyokong pelaksanaan program TVET melibatkan 12 kementerian yang menguruskan 673 institusi TVET awam di seluruh negara.
“Penyaluran peruntukan dibuat melalui kementerian penyedia TVET mengikut peranan dan fungsi masing-masing. Perancangan pengukuhan program TVET turut diselaras dengan struktur tadbir urus sedia ada serta berpaksikan dasar dan hala tuju pembangunan negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementerian-kementerian berkaitan juga digalakkan merancang pembangunan institusi dan program baharu bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran dalam pelbagai sektor strategik.
Ahmad Zahid berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen semalam menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tangga Batu berhubung pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2025 menegaskan TVET merupakan agenda penting pembangunan negara bagi melahirkan tenaga kerja terlatih, berkualiti dan selari dengan kehendak industri masa hadapan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM40 juta kepada Majlis TVET Negara bagi memperkasa pembangunan keusahawanan TVET dan memperluas peluang latihan kepada belia.
Sementara itu, Kerajaan Selangor turut menyokong agenda tersebut dengan memperuntuk sehingga RM16 juta setiap tahun bagi memperkasa bidang TVET melalui pelbagai inisiatif pendidikan teknikal dan kemahiran selaras dengan usaha melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing serta berpendapatan tinggi.







