SHAH ALAM, 4 Nov: Sektor pusat data negara dijangka berkembang pesat dengan kapasiti meningkat lebih empat kali ganda selepas 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab digital terpenting di rantau Asia-Pasifik.
Pengurus Pasaran Modal (Transaksi Pusat Data) JLL Malaysia, Sum Chun Kit berkata, kapasiti semasa pusat data negara kini sekitar 835 megawatt (MW) dan dijangka melepasi 4,000 MW dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Cyberjaya, Bukit Jalil dan KL City Centre antara lokasi tumpuan utama pusat data di Malaysia, khususnya Cyberjaya yang telah lama menjadi hab utama bagi pusat data perusahaan.
“Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak pusat data hiperskala memasuki pasaran di sana,” katanya seperti dilapor BuletinTV3.
Beliau berkata, Johor kini muncul sebagai hab strategik dengan pembangunan pesat di Nusajaya dan Sedenak Tech Park, manakala Negeri Sembilan menarik minat pembangun baharu di Nilai dan Port Dickson kerana tawaran harga tanah yang lebih kompetitif.
Chun Kit menjelaskan, pertumbuhan kukuh sektor ini turut dipacu oleh inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan teknologi lestari, sekali gus merangsang permintaan terhadap aset digital dan industri.
Selain itu, katanya, perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai Oktober lalu dijangka memperkukuh aliran pelaburan asing menerusi komitmen pembelian peralatan bernilai AS$150 bilion serta dasar baharu pemindahan data rentas sempadan.
“Pelaburan besar dalam infrastruktur tenaga dan air akan terus menarik minat pelabur antarabangsa, sementara permintaan terhadap pusat data hiperskala dijangka kekal tinggi seiring pertumbuhan ekonomi digital dan penggunaan AI,” katanya.




