ad

Bayi lelaki baru lahir ditemui di rumah dalam pembinaan

4 Nov 2025, 10:05 AM
Bayi lelaki baru lahir ditemui di rumah dalam pembinaan

BACHOK, 4 NOV: Bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Gunong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu oleh petugas Klinik Kesihatan Mahligai di sini jam 8.45 pagi tadi.

"Bayi lelaki ini ditemui tanpa pakaian dan dibalut menggunakan kain hijau di dalam rumah yang masih dalam pembinaan oleh orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan awal yang dilakukan doktor mendapati bayi lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian muka disyaki baru dilahirkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Ismail berkata bayi itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.

"Individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta hubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Nurul Aida Jafar di talian 014-2714926 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.