SHAH ALAM, 4 NOV: Sebanyak 40 kilang dan sebuah rumah yang beroperasi tanpa kebenaran lebih 20 tahun di atas tanah kerajaan di Sungai Buloh dirobohkan dalam operasi besar-besaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, semalam.
Penolong Pengarahnya, Mohammad Nadzirul Hafizie M Daud berkata tindakan itu diambil selepas mendapati kawasan berkenaan digunakan secara haram tanpa kelulusan rasmi.
Menurutnya, perobohan dijalankan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) yang melarang keras pencerobohan dan penggunaan tanah kerajaan tanpa kebenaran.
“Kawasan yang diceroboh ini merupakan bekas tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) berstatus tanah kerajaan.
"Kami telah mengeluarkan notis amaran kepada semua pemilik premis agar mengosongkan kawasan sebelum tindakan perobohan dijalankan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu membabitkan 400 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Air Selangor, TNB dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kawasan terbabit seluas empat hektar menempatkan pelbagai premis seperti bengkel kenderaan, kilang besi, stor simpanan dan industri ringan.
Tambah Mohammad Nadzirul, sebahagian pemilik premis sebelum ini mempunyai lesen pendudukan sementara, namun lesen tersebut sudah lama tamat tempoh dan tidak diperbaharui.
“Kerajaan Negeri tidak menghalang pembangunan atau aktiviti ekonomi, namun semua pihak perlu memastikan perniagaan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan,” ujarnya lagi.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri menawarkan insentif diskaun 30 peratus bagi bayaran premium kepada mana-mana pemilik premis yang ingin menguruskan semula lesen pendudukan secara sah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya melaksanakan dua operasi di kawasan berkenaan bagi membantu kelancaran penguatkuasaan agensi terlibat.
“Polis sentiasa komited memberi bantuan kepada agensi kerajaan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik serta memastikan keselamatan di lokasi operasi,” katanya.
Kerja-kerja pembersihan tapak kini dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan tanah kerajaan itu dimanfaatkan semula untuk tujuan pembangunan sah dan terancang.







