ad

Influenza A lebih mudah merebak, pakar saran ambil vaksin tahunan

4 Nov 2025, 4:43 AM
Influenza A lebih mudah merebak, pakar saran ambil vaksin tahunan
Influenza A lebih mudah merebak, pakar saran ambil vaksin tahunan

SHAH ALAM, 4 NOV: Influenza jenis A dikenal pasti sebagai strain yang paling mudah merebak dan menjangkiti manusia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes penyakit itu di Malaysia.

Menurut Pakar Otorhinolaryngology Hospital Pakar KPJ Klang, Dr Riana Kipiani Abdul Halim, walaupun kedua-dua jenis A dan B boleh menjangkiti manusia, virus jenis A lebih agresif dan sering mencetuskan penularan berskala besar.

"Influenza A mudah merebak melalui udara, jadi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik lebih mudah dijangkiti,” katanya ketika hadir ke program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Tambah Dr Riana, perubahan cuaca tidak menentu seperti musim hujan dan udara kering turut melemahkan ketahanan badan seseorang, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan influenza.

“Ketika cuaca sering bertukar antara panas dan sejuk, lapisan pelindung dalam hidung dan tekak manusia akan menjadi kering.

Pakar Otorhinolaryngology Hospital Pakar KPJ Klang, Dr Riana Kipiani Abdul Halim dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor di Shah Alam pada 28 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Apabila keadaan ini berlaku, tubuh kehilangan keupayaan semula jadi untuk menahan virus daripada memasuki sistem pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, ramai pesakit datang mendapatkan rawatan selepas beberapa minggu dijangkiti apabila simptom menjadi lebih serius seperti resdung, sakit tekak berpanjangan atau jangkitan telinga.

“Influenza boleh meninggalkan kesan jangka panjang jika diabaikan. Apabila virus merebak ke bahagian sinus atau telinga, pesakit mungkin berdepan batuk dan hidung tersumbat berpanjangan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Dr Riana turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah gejala awal seperti demam dan selesema.

Orang ramai juga digalakkan mengambil vaksin influenza setiap tahun, selain mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Vaksin influenza membantu menguatkan sistem imun dan mengelakkan jangkitan berulang, khususnya bagi warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik,” ujarnya.

Petugas kesihatan memeriksa tekan darah sebelum membenarkan suntikan vaksin pneumokokal dan influenza kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI