ad

Kes kematian pengawal keselamatan di Jalan Ipoh disiasat semula sebagai bunuh

4 Nov 2025, 2:21 AM
Kes kematian pengawal keselamatan di Jalan Ipoh disiasat semula sebagai bunuh

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Polis mengklasifikasikan semula kes kematian pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini pada 13 Oktober lalu sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata siasatan kes berkenaan sudah dikemas kini susulan kematian pengawal keselamatan itu.

“Kes ini pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

“Setelah mangsa meninggal dunia, kertas siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata suspek, lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai penyewa unit di kondominium berkenaan dibebaskan di bawah jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Ahmad Sukarno berkata polis turut merampas satu pemetik api menyerupai pistol daripada suspek.

Beliau berkata mangsa sebelum ini membuat laporan polis mendakwa suspek telah mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa, R Chandran, diserang dan dicederakan penyewa lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ipoh ketika bertugas di pos kawalan pada 13 Oktober lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, suspek bertindak menampar, menumbuk dan memijak badan mangsa selepas permintaannya untuk ditemani ke blok lain ditolak kerana mangsa tidak boleh meninggalkan pos kawalan.

Mangsa yang mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dirawat di Hospital Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang, namun pada malam hari sama, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

- BERNAMA