ad

Sokong minat anak, pilih akademi bola sepak tepat

4 Nov 2025, 2:01 AM
Sokong minat anak, pilih akademi bola sepak tepat
Sokong minat anak, pilih akademi bola sepak tepat

SHAH ALAM, 4 NOV: Ibu bapa perlu lebih teliti memilih akademi bola sepak, antaranya memberi keutamaan kelab yang terlibat aktif dalam pelbagai kejohanan atau perlawanan persahabatan.

Bapa pemain Kelab Bolasepak Mix Batu Caves, Muhamad Hasnizul Tanzizi, 45, berkata pemilihan akademi yang tepat mampu meningkatkan potensi pemain muda dan menarik minat pencari bakat sekali gus membuka peluang mereka melangkah lebih jauh.

"Peranan kelab, setiap jurulatih ada kenalan masing-masing. Setiap pertandingan selalunya ada pencari bakat di situ. Di situlah dia akan pilih dan hubungi ibu bapa dan ibu bapa pula akan rujuk kepada jurulatih sama ada boleh tak anaknya sertai kelab ini," katanya kepada Media Selangor.

Selain bergantung kepada pencari bakat, Nor Azizi Rauf, 51, menyifatkan kerjasama akademi dan jurulatih dengan pelbagai pihak juga penting bagi melebarkan potensi pemain muda.

"Jurulatih ada cakap, memang mereka merancang (untuk bawa pemain berbakat ke peringkat tinggi). Mereka ada buat banyak perlawanan untuk tingkatkan bakat pemain.

"Pencari bakat ini selalu juga ada tetapi tengok perlawanan juga. Kalau untuk liga mereka datanglah," kata bapa pemain Akademi Bola Sepak First Touch.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi bukanlah alasan utama mendaftarkan anaknya ke akademi bola sepak sebaliknya mahu generasi muda kini bergiat aktif di luar dan tidak terperap dengan peranti digital.

Bekas pemain bola sepak lagenda Selangor Datuk K. Rajagopal menyampaikan medal kepada pasukan Pantera Tigers FC yang menjuarai perlawanan bola sepak ketika Majlis Penutup Karnival Yayasan MBI MiFOM Begonia 2024 di Semenyih, Hulu Langat pada 16 November 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagi Izal Azlee Zainal Abidin, 41, beliau tidak terlalu memikirkan peluang untuk anaknya melangkah jauh dalam sukan bola sepak buat masa ini sebaliknya mahu mereka berasa seronok setiap kali bermain. 

Sekalipun pelbagai faktor boleh mempengaruhi bakat seseorang, beliau berkata, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak sebaliknya terus menyokong potensi mereka. 

"Hendak pergi ke profesional atau tidak sebenarnya bergantung kepada akademi dan jurulatih. Kalau ada yang nampak (bakat pemain) mereka akan usahakan ke depan tetapi bagi saya, mahu anak seronok main bola dahulu.

"Segi nak pergi (main) profesional atau tidak, kalau ada peluang kita ambil tetapi saya belum lagi fikirkan hal itu. Itu nombor dua, yang utama hala tuju hidup dia sebagai insan.

"Komuniti ibu bapa dalam akademi juga penting. Kadang kala ada (ibu bapa) beri tekanan terlalu kuat kepada pemain, tidak boleh juga. Kalau ada ibu bapa yang serius, boleh hantar ke Akademi Johor Darul Takzim tetapi anak saya bawah 12, saya nak bagi dia berseronok dahulu sebab umur 12 ini belum sampai kemuncak (prestasi) lagi."