ad

Gaza terima 45 jenazah dengan kesan dera, tanpa identiti

4 Nov 2025, 12:32 AM
Gaza terima 45 jenazah dengan kesan dera, tanpa identiti
Gaza terima 45 jenazah dengan kesan dera, tanpa identiti
Gaza terima 45 jenazah dengan kesan dera, tanpa identiti
Gaza terima 45 jenazah dengan kesan dera, tanpa identiti

GAZA/ISTANBUL, 4 NOV: Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan pihaknya menerima jenazah 45 rakyat Palestin yang diserahkan oleh Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), menjadikan jumlah keseluruhan jenazah yang diserahkan kini seramai 270 di bawah perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pasukan forensik setakat ini mengenal pasti 78 jenazah dan sedang meneruskan pemeriksaan “mengikut prosedur serta protokol perubatan yang diluluskan” sebelum jenazah melalui proses dokumentasi dan diserahkan kepada keluarga, menurut kenyataan kementerian itu semalam.

Kementerian berkenaan sebelum ini menyatakan kebanyakan jenazah yang diserahkan oleh Israel menunjukkan tanda penderaan, termasuk kesan pukulan, tangan terikat, mata ditutup dan kecederaan pada muka serta dihantar semula tanpa identiti.

Penyerahan itu sebahagian fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa 10 Oktober lalu.

Perjanjian merangkumi pertukaran tahanan dan mayat antara Israel dan Hamas, yang diuruskan oleh Turkiye, Mesir dan Qatar dengan penyeliaan Amerika Syarikat.

Keluarga mangsa mengenal pasti jenazah ahli keluarga mereka yang dipulangkan tanpa nama melalui tanda fizikal atau pakaian, berikutan kemudahan forensik di Gaza tidak dapat beroperasi akibat sekatan Israel yang berlarutan selama bertahun-tahun selain akibat kemusnahan makmal.

Sebelum gencatan senjata itu, Israel dilaporkan menahan 735 jenazah rakyat Palestin di kawasan yang dikenali sebagai “tanah perkuburan bernombor”, menurut Kempen Nasional Palestin bagi Mengembalikan Jenazah Syuhada.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan lebih 68,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,600 yang lain.