ad

SIBS terus diperkasa, kukuhkan Selangor sebagai pintu gerbang utama Asean

4 Nov 2025, 12:00 AM
SIBS terus diperkasa, kukuhkan Selangor sebagai pintu gerbang utama Asean
SIBS terus diperkasa, kukuhkan Selangor sebagai pintu gerbang utama Asean
SIBS terus diperkasa, kukuhkan Selangor sebagai pintu gerbang utama Asean
SIBS terus diperkasa, kukuhkan Selangor sebagai pintu gerbang utama Asean

SHAH ALAM, 4 NOV: Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan terus diperkasa bagi memastikan visinya kekal relevan serta mampu menterjemah aspirasi negeri seiring keperluan semasa.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata langkah berani perlu diambil untuk memastikan sidang tahunan itu terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu gerbang Asean yang berdaya saing dan bernilai tinggi.

Menurutnya, selepas lapan tahun penganjuran, SIBS kini memasuki fasa lebih matang dan perlu dikembangkan dengan skop serta penyertaan lebih luas.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap pada sidang media pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 25 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Tahun ini, kita melangkah lebih jauh dengan menambah dua komponen baharu iaitu Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) dan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS).

“SICS merupakan agenda ekonomi baharu yang diperkenal tahun lalu, manakala SAS pula dianjurkan tanpa pameran penerbangan. Walaupun nilai transaksinya tidak sebesar sektor lain, kedua-dua sidang ini penting untuk membina asas industri dan memperkenalkannya kepada umum,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menambah, penganjuran SIBS tidak hanya menumpu kepada jumlah transaksi semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai platform strategik mempertemukan pelabur, pemain industri dan agensi kerajaan bagi memperkukuh ekosistem ekonomi negeri.

SIBS 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merekodkan potensi transaksi berjumlah RM8.17 bilion, sekali gus mengukuhkan reputasi Selangor sebagai hab perniagaan dan pelaburan terkemuka di Asia Tenggara.

Dikendalikan Invest Selangor Berhad, edisi kesembilan itu menampilkan 740 reruai serta 581 peserta pameran, termasuk penyertaan dari 10 negeri di Malaysia dan wakil dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Selain SICS dan SAS, SIBS turut merangkumi enam komponen utama lain iaitu Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B) dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

SPARK mencatat nilai potensi transaksi tertinggi iaitu RM6.96 bilion, diikuti SABC (RM844 juta), SDEC (RM208 juta), SIE F&B (RM96.97 juta), SAS (RM52.07 juta) dan SICS (RM5.1 juta).