ad

Malaysia kutuk kekejaman RSF di Sudan, desak gencatan senjata segera

3 Nov 2025, 11:07 AM
Malaysia kutuk kekejaman RSF di Sudan, desak gencatan senjata segera
Malaysia kutuk kekejaman RSF di Sudan, desak gencatan senjata segera
Malaysia kutuk kekejaman RSF di Sudan, desak gencatan senjata segera
Malaysia kutuk kekejaman RSF di Sudan, desak gencatan senjata segera

SHAH ALAM, 3 NOV: Malaysia menggesa gencatan senjata serta-merta di Sudan dan mendesak Pasukan Sokongan Pantas (RSF) membuka laluan kemanusiaan bagi membolehkan bantuan segera disalurkan kepada penduduk di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur yang kini bergolak.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia, bersama masyarakat antarabangsa, menyaksikan dengan rasa ngeri dan dukacita kekejaman berterusan RSF yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan mencetuskan krisis perpindahan serta kebuluran terbesar di dunia.

“Skala kekejaman yang berlaku amat mengejutkan. Imej satelit memperlihatkan darah menutupi bandar El Fasher, satu noda terhadap seluruh kemanusiaan.

“Tindakan keganasan melampau dan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad menegaskan dunia tidak boleh berdiam diri dan perlu memastikan tragedi genosid Darfur tidak berulang, dengan menuntut pelaku kekejaman dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan pendirian tegas Malaysia yang menuntut penamatan segera keganasan serta perlindungan terhadap orang awam, selaras dengan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk menghentikan penderitaan, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong usaha ke arah keamanan dan keadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Serangan besar-besaran yang dilancarkan RSF di El Fasher sejak 23 Oktober lalu menyaksikan laporan mengerikan termasuk pembunuhan beramai-ramai, hukuman mati tanpa perbicaraan, rogol, serangan terhadap petugas kemanusiaan, rompakan dan pemindahan paksa, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF yang meletus sejak April 2023 telah menyebabkan ribuan terbunuh serta jutaan kehilangan tempat tinggal.

Menurut PBB, Sudan kini berdepan krisis kemanusiaan dan perpindahan penduduk terbesar di dunia, dengan 14 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka daripada populasi seramai 51 juta.