SHAH ALAM, 3 NOV: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abul Matin, Ismanira Abdul Manaf hari ini, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berkait kesalahan mengabaikan anak sulungnya.
Ismanira didapati bersalah oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh pada 31 Oktober lalu kerana mengabaikan Zayn Rayyan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak autistik itu.
Notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, melalui firma guaman Tetuan Haresh Mahadevan & Co, lapor Berita Harian.
Perkara itu disahkan peguam Tetuan Haresh Mahadevan & Co yang mewakili Ismanira, 30, ketika dihubungi media hari ini.
Menurut notis rayuan itu, Ismanira merayu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan mahkamah berkenaan..
"Ia di mana perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama lima tahun, bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun dengan cagaran RM3000, dengan seorang penjamin tempatan serta melaksanakan khidmat masyarakat selama tempoh 120 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh habis tempoh penjara," katanya.
Syahliza memutuskan Ismanira bersalah selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan bekas kerani itu menjalani hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh sabitan.
Ismanira diperintahkan menjalani hukuman penjara itu serta-merta di Penjara Wanita Kajang selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Dalam keputusannya, Syahliza berkata, kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan taksiran atau definisi bagi perkataan pengabaian di bawah Seksyen 31(1)(a) akta tersebut.
Beliau berkata, mahkamah tidak terikat dengan taksiran dan perspektif psikologi bagi mana-mana organisasi atau pertuduhan, sama ada sesuatu tindakan tertuduh adalah pengabaian atau tidak, perlu ditentukan oleh fakta dan keterangan dalam sesuatu kes.
Katanya, pembelaan menghujahkan tertuduh tidak mengabai mangsa pada hari kejadian iaitu, Zayn Rayyan berjalan di belakangnya kerana ia rutin si mati yang bersifat tegar dan tidak boleh diubah.
"Hujahan itu bercanggah dengan keterangan tertuduh sendiri dan saksi pembelaan keempat (SD4) iaitu rakan baiknya, iaitu penyambut tetamu firma guaman, Umi Syafiqah Rohizal.
"Faktor ketiga ialah keterangan pembelaan bahawa tertuduh telah mengawasi si mati pada tarikh kejadian.
"Tertuduh membiarkan mangsa berjalan di belakangnya tanpa pengawasan yang sewajarnya, sehingga membawa kepada kehilangan si mati," katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini antara jam 12 tengahari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.




