KUALA LUMPUR, 3 NOV: Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun bersenjata di stesen minyak serta curi motosikal dengan penahanan tiga lelaki di sekitar ibu negara dan Selangor akhir bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kegiatan kumpulan dikenali “Geng Pipit” itu terbongkar selepas mereka disyaki terlibat dalam kes samun berkawan bersenjata di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada 21 Oktober lepas.
“Seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 29 tahun ditahan pada 23 Oktober ketika menaiki sebuah kereta manakala dua lagi lelaki berusia 25 dan 32 tahun ditahan keesokannya di sekitar Selangor.
“Siasatan mendapati empat lelaki terlibat dalam kejadian samun di stesen minyak itu iaitu dua bertindak menyamun manakala dua lagi menunggu di dalam kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata susulan tangkapan tersebut, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun berkawan bersenjata dan empat kes curi motosikal di sekitar ibu negara.
“Semua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan THC kini direman antara tiga hingga 10 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata susulan penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit, pihaknya kini memburu seorang lelaki masih bebas dipercayai terlibat dalam kegiatan mengubah nombor casis motosikal curi dengan menggunakan mesin khas.
Beliau berkata siasatan mempercayai suspek menawarkan perkhidmatan menukar nombor casis motosikal curi menggunakan mesin penanda khas dianggar bernilai RM1,500.
“Suspek akan mengikis nombor casis asal motosikal sebelum menanda nombor baharu dengan mesin penanda khas.
“Perbuatan ini bagi mengaburi pihak berkuasa kerana perubahan itu sukar dikesan melalui pemeriksaan mata kasar. Namun hasil analisis forensik terhadap struktur ‘etching’ atau goresan, nombor asal masih boleh dikesan di bawah nombor baharu yang ditanda,” katanya.
- BERNAMA




