ad

Projek WCE: 19 pemilik tanah diarah kosongkan rumah, baki pampasan dibayar selepas pindah

3 Nov 2025, 9:42 AM
Projek WCE: 19 pemilik tanah diarah kosongkan rumah, baki pampasan dibayar selepas pindah
Projek WCE: 19 pemilik tanah diarah kosongkan rumah, baki pampasan dibayar selepas pindah
Projek WCE: 19 pemilik tanah diarah kosongkan rumah, baki pampasan dibayar selepas pindah
Projek WCE: 19 pemilik tanah diarah kosongkan rumah, baki pampasan dibayar selepas pindah

SHAH ALAM, 3 NOV: Seramai 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang diarah mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang terhenti pada jajaran sepanjang 150 meter.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Datuk Borhan Aman Shah berkata pihak konsesi WCE akan menyalurkan baki pampasan sebanyak 25 peratus kepada semua pemilik terbabit sebaik mereka berpindah sepenuhnya.

Menurutnya, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat bersama pelbagai agensi termasuk WCE, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, Lembaga Lebuhraya Malaysia, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat kawasan dan peguam pemilik tanah hari ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di bangunan pentadbiran negeri di Shah Alam pada 3 November 2025. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR

“Kita telah buat keputusan bahawa penguatkuasaan perlu dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini. Sebarang bantahan, kita syorkan supaya dibawa ke mahkamah, biar mahkamah yang putuskan.

“Supaya tiada alasan, kita melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor menyediakan rumah Skim Smart Sewa di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kekosongan.

“Pampasan tetap dibayar, 75 peratus telah diambil manakala baki 25 peratus (RM5 juta) akan disalurkan oleh pihak WCE sebaik mereka berpindah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di bangunan pentadbiran negeri di sini hari ini.

Borhan berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor (PUU).

Menurutnya, jajaran WCE dari Banting ke Taiping, Perak amat penting bagi memenuhi keperluan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan selain berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Bayangkan hanya 150 meter tertangguh sudah mengambil masa setahun. Jadi keputusan hari ini akan membuka ruang kepada pelaksanaan projek diteruskan tanpa halangan.

“Isu ini bukan soal tidak setuju, cuma wujud ketidakpuasan hati daripada segelintir pemilik tanah terhadap proses dan jumlah pampasan,” jelasnya.

Jajaran Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting ke Shah Alam dan Klang dikenakan tol mulai 12.01 tengah malam, 13 Jun 2025, selepas beroperasi secara percuma sejak dibuka pada 22 Januari lalu. Foto WCE

Beliau berkata PDT Klang akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan perobohan secara bersepadu mengikut Seksyen 426A(i)(c) Kanun Tanah Negara (Akta 828) bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN selepas tamat tempoh notis.

Isu pembinaan WCE di Kampung Jawa berlarutan apabila 19 penduduk dilaporkan masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan pihak berkuasa.

Kesemua mereka merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek berkenaan dan majoritinya telah menerima pampasan daripada syarikat konsesi.

Lebuhraya WCE sepanjang 233 km menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak dengan 21 persimpangan utama termasuk akses ke SKVE, NKVE, PLUS, NNKSB dan LATAR.