ad

Empangan JPS tingkat kawalan banjir, sumber air, pendekatan hijau diperluas

3 Nov 2025, 8:59 AM
Empangan JPS tingkat kawalan banjir, sumber air, pendekatan hijau diperluas
Empangan JPS tingkat kawalan banjir, sumber air, pendekatan hijau diperluas
Empangan JPS tingkat kawalan banjir, sumber air, pendekatan hijau diperluas

SHAH ALAM, 3 NOV: Empangan yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini direka bentuk dengan konsep dwi fungsi, bukan sahaja bagi mengawal banjir, tetapi juga sebagai sumber bekalan air domestik dan pengairan pertanian.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan itu adalah sebahagian daripada strategi infrastruktur hijau dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang diterapkan kerajaan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

“Pendekatan ini memastikan setiap projek tebatan banjir bukan sekadar memenuhi keperluan kejuruteraan semata-mata, sebaliknya memberi manfaat langsung kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan mampan negara,” katanya.

“Empangan JPS bukan sahaja berfungsi sebagai mitigasi banjir, tetapi turut dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air dan pengairan pertanian.

"Pendekatan ini memastikan keberkesanan kos, ketahanan jangka panjang dan manfaat terus kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal berkata, Petra melalui JPS dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sudah lama menerapkan prinsip infrastruktur hijau dalam perancangan pembangunan, termasuk dalam reka bentuk sistem saliran dan takungan air.

Beliau menjelaskan bahawa prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) kini dijadikan panduan utama dalam pembangunan projek tebatan banjir di seluruh negara, dengan memastikan setiap elemen pembinaan turut mengambil kira fungsi ekologi dan rekreasi.

“Kolam takungan kini bukan sekadar berfungsi menakung air hujan, tetapi turut direka bentuk sebagai tasik rekreasi dan kawasan hijau yang menyumbang kepada peningkatan biodiversiti serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Antara contoh kejayaan pendekatan ini ialah Wetland Putrajaya, yang menjadi model “building with nature” — menggabungkan fungsi kawalan air dengan tarikan eko-pelancongan serta habitat semula jadi untuk pelbagai spesies hidupan air dan daratan.

Dalam masa sama, Akmal Nasrullah berkata, Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 telah bersetuju menjadikan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai rujukan utama kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju bagi memastikan pembangunan masa depan lebih terancang dan sistematik.

Beliau turut menekankan kepentingan konsep infrastruktur dwi fungsi dalam perancangan projek masa hadapan, seperti Kolam Krubong–Durian Tunggal di Melaka dan Kolam Sungai Klang–Sungai Rasau di Selangor, yang direka untuk menampung air ketika musim hujan serta digunakan semula sebagai sumber bekalan air ketika musim kering.

“Projek baharu akan terus menekankan fungsi pelbagai ini, sejajar dengan usaha kerajaan memastikan pembangunan lebih lestari, berdaya tahan dan memberi nilai tambah kepada rakyat dalam jangka panjang,” katanya.