SHAH ALAM, 3 NOV: Sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9 di Beluran, Sabah, melakar kenangan manis apabila meraih anugerah khas pada Pertandingan Inovasi Alam Melayu Antarabangsa (IMAN25), hari ini.
Tiga guru berkenaan yang diketuai Lorenica Frenila Masundim menghasilkan aplikasi Pantas Baca Jawi yang membolehkan murid menguasai dan memahami penulisan jawi hanya dalam tempoh lima hari.
Lorenica berkata, beliau bersama rakan-rakannya mula membangunkan aplikasi berkenaan sejak Januari lalu selepas mendapati murid bukan Islam sukar mempelajari Jawi menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu.
“Saya sendiri guru Bahasa Melayu yang mengajar murid tahap dua. Murid bukan beragama Islam ini tidak pernah mempelajari Jawi, jadi saya menghasilkan aplikasi ini untuk memudahkan mereka.
“Apabila menggunakan aplikasi ini, mereka boleh menguasai kemahiran tulisan Jawi sepantas lima hari sahaja. Daripada situlah saya mendapat idea,” katanya kepada pemberita.

Lorenica turut dibantu dua lagi rakan iaitu Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Bawang K9 Alexius Jillyne Engkamat serta guru Pendidikan Islam Noorhazierra Latuwoh.
Mereka antara tiga kumpulan yang diraikan pada majlis penutup IMAN25 yang julung kali dianjurkan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.
Ketiga-tiga pasukan terbabit masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta trofi yang disampaikan oleh EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah.
Dalam pada itu, Borhan menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada UiTM serta IMPAK atas kejayaan menganjurkan pertandingan inovasi berteraskan Alam Melayu yang pertama seumpamanya di negara ini.
Beliau menyifatkan IMAN25 bukan sekadar pertandingan, tetapi medan untuk menyemarakkan kembali roh kreativiti, keilmuan dan kebijaksanaan yang sekian lama menjadi tunjang tamadun Alam Melayu.

“Warisan dan tradisi Alam Melayu bukan halangan kepada kemajuan, malah menjadi sumber inspirasi melahirkan inovasi beridentiti, berjati diri dan berdaya saing di peringkat dunia,” katanya.
IMAN25 yang berlangsung dari 1 Julai hingga 1 November lalu menerima sambutan menggalakkan dengan 117 penyertaan keseluruhan daripada penyelidik dan pencipta tempatan serta luar negara.





