JOHOR BAHRU, 3 NOV: Harga pas Perjalanan Tanpa Had bagi Kad 30 Hari Bas.My di seluruh negara diturunkan daripada RM50 kepada RM30 sebulan bagi membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penurunan harga yang berkuat kuasa serta-merta itu bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, tetapi juga mampu menjimatkan perbelanjaan antara RM200 hingga RM300 setiap bulan.
Beliau berkata Program Bas Berhenti-Henti (SBST) Johor Bahru mencatat jumlah penumpang tertinggi di negara ini sejak mula dilaksanakan pada 2022 dengan purata 940,000 penumpang sebulan bagi tahun ini.
“Pelaksanaan Bas.My di Johor Bahru kini merangkumi 21 laluan, iaitu penambahan tiga laluan daripada 18 laluan sebelum ini. Bagi tujuan itu, kerajaan persekutuan akan melabur sebanyak RM134.94 juta bagi tempoh dua tahun, bersamaan dengan RM67.47 juta setahun, bagi memastikan perkhidmatan SBST Johor Bahru terus memberikan manfaat kepada rakyat.
“Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, pengendali Bas.My Johor Bahru disaran supaya meningkatkan usaha agar mampu mencatat purata bulanan melebihi satu juta penumpang pada masa hadapan.
“Inisiatif ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia, manakala bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh. Penurunan harga pas itu juga akan diperluas ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan Bas.My supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat sama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My Johor Bahru di Sutera Mall, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata perkhidmatan tambahan Bas.My Medik, iaitu van khas bagi membawa pesakit dialisis, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pengguna kerusi roda akan mula dilaksanakan di Johor Bahru menjelang hujung tahun ini.
Katanya, perkhidmatan berasaskan permintaan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang dikenakan kepada pengendali perkhidmatan bas bagi memastikan kemudahan mobiliti turut dinikmati golongan memerlukan.
“Dua van akan disediakan dan telah diubah suai bagi kegunaan pesakit, termasuk OKU serta pengguna kerusi roda. Van ini akan mengambil pesakit dari rumah untuk dibawa ke pusat dialisis, hospital atau klinik,” katanya.
Beliau berkata tempahan perkhidmatan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih atau panggilan telefon, bergantung pada keselesaan pengguna.
Sementara itu, Loke yang akan melakukan lawatan tapak ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) hari ini bagi meninjau perkembangan dan memastikan kerja pembinaan berjalan mengikut jadual, berkata kadar tambang bagi Projek Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS Link) masih belum ditetapkan dan akan dimuktamadkan bersama dengan pihak operator sebelum operasi bermula.
“Lawatan ini penting supaya kita dapat memahami dengan lebih dekat status pelaksanaan dan melakukan tindakan awal sekiranya ada isu yang perlu diuruskan,” katanya.
- BERNAMA





