ad

Menyamar pelancong, AKPS tolak kemasukan lapan warga asing melalui Bukit Kayu Hitam

3 Nov 2025, 4:28 AM
Menyamar pelancong, AKPS tolak kemasukan lapan warga asing melalui Bukit Kayu Hitam

SHAH ALAM, 3 NOV: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan lapan warga asing ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata penolakan dibuat selepas mereka disyaki bukan pelancong tulen dan tersenarai dalam senarai syak jabatan, tidak memenuhi syarat "break of stay" serta mengemukakan bukti tempahan tiket dan hotel palsu, lapor Berita Harian.

Beliau berkata mereka membabitkan seorang wanita warga Thailand, dua lelaki warga China, tiga lelaki warga India dan dua warga Sepanyol berusia antara 30-an hingga 40-an.

"Semua individu terbabit diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk sama dan tindakan ini diambil di bawah Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, tindakan penolakan masuk ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standart (SOP) dan pekeliling jabatan yang sedang berkuat kuasa dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti.