ad

Hanya logo halal Jakim diiktiraf, Selangor bangunkan sistem semakan digital

3 Nov 2025, 4:25 AM
Hanya logo halal Jakim diiktiraf, Selangor bangunkan sistem semakan digital
Hanya logo halal Jakim diiktiraf, Selangor bangunkan sistem semakan digital

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Selangor sedang membangunkan pangkalan data halal digital bagi memudahkan pengguna menyemak kesahihan logo halal pada produk di pasaran.

EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, inisiatif itu sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem halal serta melindungi pengguna daripada kekeliruan.

“Salah satu inisiatif yang sedang diusahakan Kerajaan Negeri adalah pembangunan pangkalan data digital yang boleh diakses pengguna untuk menyemak kesahihan logo halal sesuatu produk,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menegaskan satu-satunya logo halal diiktiraf kerajaan ialah Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sebarang logo halal selain SPHM adalah tidak sah dan boleh mengelirukan pengguna,” katanya.

Dr Fahmi menjelaskan bawah Akta 730 (Akta Perihal Dagangan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo halal.

“Hukuman boleh merangkumi saman, kompaun, atau penjara bergantung kepada tahap kesalahan,” katanya.

Beliau mengulas tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NG0), Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) yang memperkenalkan pengiktirafan 'Muslim Choice' kepada pengusaha kononnya menepati syarat dan piawaian ditetapkan pertubuhan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menegaskan penggunaan istilah 'Muslim Choice' atau seumpamanya bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.

Katanya, istilah berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai status halal sesuatu produk atau premis.

"Semua pihak dinasihatkan supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, istilah atau kenyataan yang membawa maksud halal tanpa kebenaran rasmi daripada Jakim atau Majlis Agama Islam negeri (MAIN) mahupun Jabatan Agama Islam negeri (JAIN)," katanya.

Sirajuddin berkata, Jakim pernah bertemu MFW pada 23 Ogos 2024 dan memaklumkan bahawa pengiktirafan 'Muslim Choice' boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

"Namun berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW dikesan masih meneruskan aktiviti terbabit," katanya.