KUANTAN, 3 NOV: Seorang pesara kerugian lebih RM200,000 selepas terperdaya dengan phone scam atau panggilan palsu yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata bekas pensyarah berusia 59 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat insurans memaklumkan kononnya terdapat tuntutan RM68,000 melibatkan mangsa.
Beliau berkata panggilan itu kemudian disambung kepada beberapa individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya, mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
“Mangsa seterusnya diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang ke akaun yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan sebelum membuat 10 transaksi menggunakan wang simpanan sendiri dan pinjaman peribadi antara 9 April hingga 12 Jun lalu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata wanita itu menyedari diperdaya selepas suspek sekali lagi meminta wang daripadanya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA




