SIBOLGA (INDONESIA), 3 NOV: Mahasiswa berusia 21 tahun maut selepas diserang sekumpulan lelaki di Masjid Agung Sibolga, Sumatera Utara, awal pagi Jumaat lalu.
Mangsa, Arjuna Tamaraya, dilaporkan diserang sekitar jam 3.30 pagi waktu tempatan selepas ditegur lelaki berusia 57 tahun, ZP, yang melarangnya tidur di kawasan masjid.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sibolga, AKP Rustam E Silaban, mangsa enggan beredar, menyebabkan suspek berasa tersinggung lalu memanggil empat individu lain untuk bertindak bersama.
“Kesemua suspek memukul mangsa di dalam masjid sebelum menyeretnya keluar hingga kepalanya terhantuk dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Serangan itu berlanjutan apabila salah seorang suspek memijak kepala mangsa serta melempar buah kelapa, menyebabkan kecederaan parah.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh penjaga masjid, Alwis Janasfin Pasaribu, 23, yang kemudian membawanya ke Hospital Dr FL Tobing Sibolga sebelum disahkan meninggal dunia pada Sabtu jam 5.55 pagi akibat kecederaan serius di kepala, lapor Sinar.
Polis menahan dua suspek, ZP dan HB, 46, di lokasi kejadian pada hari sama, manakala SS, 40, diberkas keesokan harinya di Tapanuli Tengah ketika cuba melarikan diri.
SS turut disyaki mencuri Rp10,000 (kira-kira RM3) daripada poket mangsa.
Antara barangan bukti yang dirampas ialah rakaman CCTV, sebiji kelapa, pakaian mangsa, topi dan beg hitam. Dua lagi suspek masih diburu.
Ketiga-tiga suspek ditahan disiasat mengikut Pasal 338 Kanun Keseksaan (pembunuhan) dan Pasal 170(3) kerana kekerasan beramai-ramai yang menyebabkan kematian.
SS turut berdepan pertuduhan tambahan di bawah Pasal 365(3) kerana mencuri dengan kekerasan hingga mengakibatkan kematian.
Jenazah Arjuna telah diserahkan kepada keluarganya dan dikebumikan selepas proses bedah siasat di Hospital Dr FL Tobing Sibolga.





