SHAH ALAM, 2 NOV: Program mencanting batik di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang bukan sahaja mengetengahkan keindahan seni tradisi itu, malah memberi peluang kepada peserta menghayati suasana alam semula jadi di kawasan berkenaan.
Program berkonsep santai itu diadakan di tepi laluan pejalan kaki yang mengelilingi kawasan paya bakau, sekali gus memberikan pengalaman beraktiviti dalam suasana yang tenang dan mendamaikan.
Aktiviti mencanting batik itu disertai hampir 50 individu, terdiri penduduk setempat, pengunjung taman serta keluarga yang membawa anak-anak mencuba seni batik berlatarbelakangkan alam semula jadi.

Penganjur menyediakan peralatan melukis dan kain batik khas untuk peserta mencuba teknik canting sebenar, termasuk penggunaan lilin panas dan pewarna batik.
Bagi Fauziah Hayat, 57, yang hadir untuk beriadah, program itu memberi pengalaman baharu serta peluang melakukan aktiviti bermanfaat di kawasan rekreasi yang sering dikunjungi beliau.
“Bagi saya aktiviti mencanting batik di sini sangat menarik, lebih-lebih lagi apabila kawasan paya bakau ini masih terpelihara dan segar. Jika program seperti ini dianjurkan lagi, pasti penduduk setempat akan menyertainya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Julaidah Miskam, 53, berkata beliau teruja apabila dimaklumkan mengenai program tersebut dan menganggap ia peluang untuk mencuba sesuatu yang jarang dilakukan.
“Sangat rugi bagi yang tak rebut peluang ini. Walaupun hasilnya sederhana, saya tetap bangga kerana berjaya siapkan cantingan sendiri. Program hari menarik, belajar seni mencanting dalam suasana yang menyegarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fauzi Mohd Yusak, 37, pada awalnya hanya datang untuk beriadah sebelum dimaklumkan mengenai penganjuran program tersebut.

“Saya terus berminat apabila diberitahu ada aktiviti canting batik. Sekurang-kurangnya, ada ilmu baharu yang saya dapat hari ini,” katanya kepada Media Selangor.
Program itu turut mendapat bimbingan langsung daripada pelukis batik Balai Seni Negara, Mohamad Faizal Abdul Samat, yang membantu peserta memahami pergerakan lilin, teknik mewarna serta cara menghasilkan corak batik asas.
Penganjuran program seperti ini bukan sahaja menghidupkan kawasan rekreasi, malah membuka ruang pembelajaran seni kepada masyarakat dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan alam.
Sebelum ini, EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi memaklumkan bahawa program pembangunan usahawan belia SAY ASPIRE akan diperluaskan dengan menggalakkan penyertaan industri kreatif seperti batik, kraftangan, animasi dan fotografi di Selangor.
Beliau berkata usaha tersebut bertujuan menjadikan sektor kreatif sebagai salah satu cabang ekonomi baharu yang mampu memberi peluang kepada belia menjana pendapatan melalui bakat dan kreativiti masing-masing.










