ad

Gabungan seni dan alam: Program canting batik di taman rekreasi paya bakau meriah

2 Nov 2025, 12:13 PM

SHAH ALAM, 2 NOV: Program mencanting batik yang berlangsung di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang tampil dengan kelainan apabila aktiviti itu dijalankan berlatar belakangkan pemandangan hutan paya bakau yang indah dan menenangkan.

Program tersebut menghimpunkan peserta pelbagai peringkat umur, termasuk keluarga serta pelajar sekolah yang datang untuk merasai pengalaman mencanting batik di kawasan hijau semula jadi.

Pengerusi Persatuan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Suhaimi Sanusi, 57, berkata penganjuran program itu menepati matlamat utama penubuhan taman rekreasi berkenaan yang memberi tumpuan kepada elemen pendidikan.

Menurutnya, pembangunan kawasan tersebut bukan sekadar melibatkan aktiviti riadah, tetapi turut menjadikan ilmu dan kesedaran alam sekitar sebagai fokus utama kepada pengunjung.

Pengerusi Persatuan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Suhaimi Sanusi

“Pembangunan kawasan ini lebih kepada rekreasi pendidikan. Program mencanting batik hari ini membuktikan usaha itu, dan saya sangat teruja kerana ia berasaskan pembelajaran sambil beraktiviti,” ujarnya.

Aktiviti bermula dari jam 9 hingga 11 pagi dan menarik penyertaan hampir 50 individu terdiri penduduk setempat, pengunjung taman serta keluarga yang membawa anak-anak menyertai aktiviti seni tersebut.

Katanya, program sebegini dapat mendekatkan masyarakat dengan seni tradisi sambil memberi pendedahan mengenai ekosistem paya bakau yang wajar dipelihara.

“Masyarakat nampak usaha awal kami dan mereka memberi sokongan. Bukan hanya penduduk setempat, malah pengunjung dari luar turut menyertai aktiviti yang dianjurkan,” katanya lagi.

Beliau berkata, sambutan positif ini membuktikan kawasan tersebut berpotensi menjadi pusat rekreasi pendidikan yang lebih besar pada masa depan.

Selain aspek pendidikan, taman rekreasi itu kini menjadi lokasi pilihan pengunjung untuk aktiviti kecergasan, terutamanya pada hujung minggu apabila penduduk datang beriadah bersama keluarga.

Jelas Suhaimi, pihaknya juga berharap lebih banyak sokongan agensi kerajaan dalam menambah baik kemudahan sedia ada termasuk laluan pejalan kaki, struktur kayu, pencahayaan serta kawasan rehat.

“Memang sokongan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) amat kami harapkan supaya kawasan ini dapat dinaik taraf dan kelihatan lebih indah,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama penduduk setempat dapat diteruskan kerana penjagaan kawasan paya bakau memerlukan pemantauan dan semangat gotong-royong berterusan.

Taman rekreasi itu diiktiraf sebagai Pengurusan Komuniti Terbaik melalui Anugerah Friends of Rivers Negeri Selangor 2024, sekali gus mengiktiraf usaha persatuan dan sukarelawan yang memelihara kawasan tersebut sejak awal penubuhan.