ad

MPAJ lancar Kajian Penilaian Sukarela Tempatan, capai pembangunan mampan 2030

2 Nov 2025, 6:12 AM
MPAJ lancar Kajian Penilaian Sukarela Tempatan, capai pembangunan mampan 2030
MPAJ lancar Kajian Penilaian Sukarela Tempatan, capai pembangunan mampan 2030
MPAJ lancar Kajian Penilaian Sukarela Tempatan, capai pembangunan mampan 2030

AMPANG JAYA, 2 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melancarkan Kajian Penilaian Sukarela Tempatan (VLR) bagi memastikan pembangunan dilaksana secara mampan dan inklusif menjelang 2030.

Timbalan Yang Dipertuanya Hasrolnizam Shaari berkata kajian tersebut penting kerana ia menilai prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan melalui Pelan Hala Tuju SDG Ampang Jaya 2025–2030.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Hasrolnizam Shaari ketika Dialog Santai dan Pelancaran Laporan Kajian Penilaian Sukarela Tempatan (VLR) dan Pelan Hala Tuju SDG Ampang Jaya 2025-2030 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 2 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“VLR ini bukan laporan yang disediakan di atas meja semata-mata, sebaliknya berdasarkan data sebenar, pemerhatian lapangan serta pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat.

“Ia mencerminkan keadaan sebenar Ampang Jaya, di mana kita berada sekarang dan ke mana arah kita menuju menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran laporan kajian berkenaan di Taman Melawati, di sini hari ini.

Hasrolnizam menjelaskan pelancaran VLR turut menandakan permulaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju SDG Ampang Jaya 2025–2030, yang memberi tumpuan kepada tujuh teras strategik utama:

  • Kelestarian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

  • Mobiliti, Infrastruktur Hijau dan Bandar Rendah Karbon

  • Pembangunan Ekonomi Tempatan Berdaya Saing

  • Komuniti Sejahtera dan Inklusif

  • Tadbir Urus Pintar dan Telus

  • Pendidikan dan Literasi SDG untuk Semua

  • Kerjasama dan Jaringan Strategik Merentas Sektor

Menurutnya, setiap teras strategik akan diterjemahkan melalui pelan tindakan tahunan yang diselaraskan dengan dasar negeri dan nasional termasuk Dasar Pembangunan Lestari Negeri Selangor, Rancangan Fizikal Negara, serta Dasar Perbandaran Negara 3 (DPN3).

“Pelan Hala Tuju SDG Ampang Jaya 2025–2030 merupakan dokumen strategik jangka sederhana yang dirangka secara rapi bagi memastikan MPAJ kekal di landasan pembangunan mampan menjelang 2030,” katanya.