ad

Projek asrama anak yatim Yide capai kemajuan 80 peratus, seru infak orang ramai

2 Nov 2025, 4:01 AM
Projek asrama anak yatim Yide capai kemajuan 80 peratus, seru infak orang ramai
Projek asrama anak yatim Yide capai kemajuan 80 peratus, seru infak orang ramai
Projek asrama anak yatim Yide capai kemajuan 80 peratus, seru infak orang ramai

SHAH ALAM, 2 NOV: Projek pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang mencapai kemajuan sekitar 80 peratus setakat ini.

Agensi itu memaklumkan pembangunan kompleks berkonsep Islamik kontemporari itu melibatkan blok asrama, surau, dewan serbaguna, perpustakaan, bilik teknologi maklumat dan kemudahan riadah.

“Ini semua ini bagi memastikan anak-anak yatim mendapat suasana pembelajaran, tarbiah dan kehidupan yang selesa serta setanding dengan rakan sebaya mereka.

“Kompleks ini direka berkonsepkan Islamik kontemporari dan boleh menampung sehingga 108 anak yatim lelaki pada satu-satu masa,” katanya di Facebook. 

Tambah Yide, projek tersebut dilaksanakan hasil wakaf tanah seluas 3.47 ekar sumbangan Central Spectrum (M) Sdn Bhd, dengan sokongan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, yang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek berkenaan sebelum ini.

“Hasrat kami untuk melahirkan anak-anak yatim yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berakhlak mulia, berdaya saing serta mampu memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diseru menyalurkan sumbangan bagi membantu membiayai pembinaan prasarana, pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim melalui pautan yide.com.my atau imbasan kod QR.

Sumbangan juga boleh dibuat ke akaun berikut:

  • Bank Islam (12234010018825)

  • RHB Bank (26262500011439)

  • Maybank (562106866637)

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 017-756 9478 atau 012-774 9452.

Sebelum ini, Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor memaklumkan kos keseluruhan pembinaan kompleks berkenaan dianggarkan sekitar RM17 juta.

Yide ialah anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertanggungjawab mengurus kebajikan anak yatim serta bantuan musibah kepada masyarakat Islam di negeri ini.