KOTA KINABALU, 1 NOV: Selangor FC terus menambah derita Sabah FC apabila mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Likas dalam aksi Liga Super malam ini.
Tuan rumah bermula garang apabila Fergus Tierney meletakkan Sabah di depan seawal minit kelapan hasil hantaran silang Miguel Angel Garrido Cifuentes.
Namun, skuad Gergasi Merah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi Alvin Mateus Fortes, sebelum kapten Faisal Halim meledak gol kemenangan pada minit ke-58.
Jaringan Faisal itu memastikan Selangor membawa pulang tiga mata berharga, sekali gus meneruskan rentak cemerlang dalam saingan liga.
Sabah pula kekal tanpa kemenangan selepas lapan perlawanan dengan hanya empat mata hasil empat keputusan seri, menghuni tangga ke-10 Liga Super.




