SHAH ALAM, 1 Nov: Kajian terbaharu Projek RE:CARE mendedahkan tahap kelesuan upaya dan tekanan kerja yang membimbangkan dalam kalangan pekerja penjagaan di Malaysia, dengan satu daripada tiga individu atau 34.5% menyatakan hasrat untuk meninggalkan sektor itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Laporan bertajuk “Towards a Resilient Care Workforce: Lessons from COVID-19 in Malaysia” menunjukkan 56.2 peratus pekerja penjagaan masih mengalami keletihan sederhana hingga serius walaupun selepas pandemik berakhir.
Selain itu, tiga perempat responden (75.7 peratus) melaporkan penurunan kesejahteraan sepanjang pandemik COVID-19, dan dua pertiga daripada mereka (67.2 peratus) belum kembali kepada tahap kesihatan mental dan fizikal asal.
“Semasa pandemik, kira-kira satu daripada tiga pekerja penjagaan bekerja melebihi 70 jam seminggu. Walaupun situasi kini pulih, ramai masih terpaksa bekerja lebih masa melebihi 45 jam seminggu seperti yang ditetapkan dalam Akta Kerja,” menurut laporan itu.
Projek RE:CARE turut memberi amaran bahawa krisis ini boleh menjejaskan daya tahan sistem penjagaan negara, terutama ketika Malaysia berdepan populasi warga emas yang semakin meningkat.
Kajian berskala besar itu melibatkan 1,534 responden, 144 peserta kumpulan fokus dan 20 temu bual bersama pembuat dasar serta pengamal sektor penjagaan di seluruh negara.
RE:CARE menyeru kerajaan supaya segera melaksanakan dasar lebih adil dan responsif gender bagi menangani isu keletihan serta kadar keluar masuk pekerja dalam sektor berkenaan.
“Kita perlu menilai semula nilai dan peranan sebenar tenaga kerja penjagaan, yang kebanyakannya wanita, agar mereka diberikan pengiktirafan, perlindungan dan sokongan sewajarnya,” kata penyelidik utama projek, Anis Farid.
Di peringkat negeri, Selangor merupakan antara kerajaan terawal yang memperkenalkan pendekatan ekonomi penjagaan (care economy) melalui pelbagai dasar sokongan sosial seperti Inisiatif Rumah Penjagaan Rakyat, Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan insentif penjagaan anak (TUNAS) di bawah agenda #KitaSelangor.
Pendekatan ini sejajar dengan seruan RE:CARE untuk menjadikan penjagaan sebagai sektor ekonomi penting, bukan sekadar tanggungjawab domestik wanita.
Kerajaan Negeri juga memperluas dasar berasaskan Ekonomi Manusiawi Selangor, yang mengiktiraf pekerjaan penjagaan sebagai tunjang kesejahteraan rakyat dan penyumbang langsung kepada produktiviti negeri. Laporan penuh bersama syor dasar akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung November ini.
Projek RE:CARE merupakan inisiatif bersama Women’s Aid Organisation (WAO), Universiti Malaya, dan University of Alberta, dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan TalentCorp, serta dibiayai oleh badan antarabangsa termasuk International Development Research Centre (IDRC) dan Canadian Institutes of Health Research (CIHR).




