ad

Aktivis cadang kerusi keselamatan percuma, larang ibu bapa riba anak dalam kereta

2 Nov 2025, 12:00 AM
Aktivis cadang kerusi keselamatan percuma, larang ibu bapa riba anak dalam kereta

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan dan pengeluar kenderaan disaran bekerjasama menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak (CSR) secara percuma atau melalui rebat ketika pembelian kereta baharu bagi menggalakkan penggunaannya dalam kalangan ibu bapa.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata langkah itu dapat menjadikan CSR sebagai keperluan asas setiap keluarga, bukan sekadar pilihan.

“Bayangkan jika harga kereta RM35,000 dan kos kerusi keselamatan RM300 itu dapat disekalikan dalam ansuran bulanan. Keluarga muda pasti tidak akan rasa terbeban,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau turut menolak alasan kewangan kerana banyak kedai barangan terpakai (bundle) menawarkan CSR serendah RM20 hingga RM50.

“Walaupun bukan baharu, ia jauh lebih baik dan selamat daripada tidak menggunakannya langsung,” tegasnya.

Shahrim turut menasihatkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak berasa selesa duduk di dalam CSR walaupun pada peringkat awal mereka menangis.

Aktivis Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Mampan Shahrim Tamrin. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Lebih baik anak menangis sebab kena duduk dalam kerusi keselamatan daripada ibu bapa menangis kerana kehilangan nyawa anak mereka,” katanya.

Dalam aspek penguatkuasaan, beliau berpandangan ia wajar dilaksanakan secara berperingkat melalui tindakan amaran dan pendidikan.

“Notis itu lebih kepada amaran, bukan kompaun. Kesedaran masyarakat tidak harus dibina atas ketakutan terhadap saman,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan operasi dijalankan di tempat awam seperti pasar raya atau pusat beli-belah bagi menegur ibu bapa yang meriba anak di tempat duduk hadapan.

“Tunjuk realiti sebenar yang mana ada kanak-kanak kepala pecah, muka berdarah. Itulah ‘fear factor’ sebenar. Jangan sebut soal saman, tapi tunjukkan kesan yang boleh menyedarkan masyarakat,” katanya.