SHAH ALAM, 31 OKT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuching Tengah di sini dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sebagai pengiktirafan terhadap potensi cemerlang sekolah berkenaan dalam pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.
JPPM dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan inisiatif tersebut menjadi simbol komitmen jabatan berkenaan untuk memperkasakan institusi pendidikan luar bandar melalui program yang inklusif, mampan serta berpaksikan nilai-nilai Madani.
“Program ini memberi tumpuan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama erat antara warga sekolah, komuniti setempat dan agensi kerajaan demi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.
Majlis penyerahan simbolik program tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPPM Dato’ Mohd Zulfikar Ahmad dalam satu majlis di sekolah berkenaan, kelmarin.
Program Sekolah Angkat Madani merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Persekutuan menggerakkan pendekatan ‘whole of nation’ bagi merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada lima teras utama, iaitu:
penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah
pengukuhan program akademik dan bimbingan murid
latihan serta pembangunan profesional guru
bantuan kewangan dan biasiswa
program pembangunan sahsiah dan kemahiran pelajar
Setakat ini, sekitar 1,000 sekolah di seluruh negara terpilih mengikuti program berkenaan dengan penyertaan dan sokongan daripada 32 syarikat swasta, 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaburan (GLIC), 29 agensi kerajaan serta 27 syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).


