ad

TH teliti cadangan individu 60 tahun ke atas layak tunai haji

30 Okt 2025, 12:52 PM
TH teliti cadangan individu 60 tahun ke atas layak tunai haji
TH teliti cadangan individu 60 tahun ke atas layak tunai haji
TH teliti cadangan individu 60 tahun ke atas layak tunai haji

SEPANG, 30 OKT: Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti cadangan supaya individu berusia 60 tahun ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan ibadah haji menerusi pakej muassasah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ketika ini, TH masih mengekalkan dasar “daftar awal, ditawar awal” dalam menentukan giliran menunaikan haji.

“Polisi sekarang ialah siapa yang daftar dahulu, dia akan didahulukan. Namun saya faham isu berkaitan usia ini, dan insya-Allah usul berkenaan akan dibincangkan serta dipertimbangkan oleh TH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim Haji 1447H/2026M di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Foto BERNAMA

Semalam, beberapa ahli parlimen mencadangkan supaya warga emas berumur 60 tahun ke atas diberikan kelulusan automatik untuk menunaikan haji melalui muassasah tanpa perlu membuat rayuan dan membayar kos penuh RM33,300.

Ditanya maklum balas terhadap syarat kesihatan lebih ketat yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi musim haji akan datang, Mohd Na’im berkata langkah itu bertujuan menjaga kebajikan jemaah sepanjang tempoh menunaikan rukun Islam kelima.

Beliau menasihatkan bakal jemaah haji yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M, untuk memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik bagi melepasi pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan.

“Jadi, saya ingat apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang akan menunaikan haji tahun depan ialah menjaga kesihatan mulai sekarang, supaya apabila pemeriksaan dijalankan, kita dapat melepasi saringan tersebut. Itu yang kita harapkan, tetapi kalau tidak lepas, mungkin ada rezeki lain yang Allah sudah tetapkan,” katanya.

Untuk rekod berdasarkan maklumat TH lapan peratus daripada lebih empat juta mereka yang berdaftar haji, terdiri daripada warga emas.

Pada 20 Oktober, Mustakim dilaporkan berkata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan baharu bagi bakal jemaah haji musim 1447H/2026M, selain tidak lagi membenarkan TH membuka pusat rawatan di Tanah Suci.

Antara syarat yang ditetapkan ialah bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal, serta berupaya melaksanakan ibadat haji secara kendiri.

Jemaah tidak dianggap layak mengerjakan haji sekiranya menghidap penyakit atau keadaan seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik dan penyakit hati kronik.

- BERNAMA