SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem inovasi menerusi penganjuran Anugerah Inovasi Selangor (AINS) dan Majlis Penyampaian Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) yang mengiktiraf idea kreatif serta penyelesaian baharu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan inovasi kini menjadi pemacu utama transformasi Selangor ke arah negeri pintar, sejahtera dan mampan.
"Inovasi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan untuk kita terus menyesuaikan diri dan memperkukuh tadbir urus serta kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap di Bangunan SUK di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan pertandingan inovasi yang dianjurkan setiap tahun itu menarik penyertaan meluas penjawat awam, syarikat swasta, sekolah, universiti dan individu.
"Tahun ini sahaja, 364 penyertaan diterima dari seluruh negeri, tanda bahawa inovasi semakin menjadi budaya bersama," katanya.

Bercakap kepada media selepas majlis, beliau menekankan inovasi bermula dengan budaya menyelesaikan masalah, menyesuaikan diri dan mencipta penyelesaian agar terus berdaya tahan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata AINS menjadi platform rakyat negeri itu menonjolkan kreativiti serta menyumbang kepada pembangunan budaya inovasi negeri.
Katanya, pertandingan itu dianjurkan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan 12 pihak berkuasa tempatan dengan menggabungkan Anugerah Inovasi Sektor Awam Selangor (diperkenalkan pada 2010) dan My Innovation Challenge (2015).
"Inovasi bukan sekadar pilihan tetapi asas transformasi kerajaan agar setiap langkah kekal relevan menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Bermula tahun depan, AINS bakal diperkukuh melalui kerjasama bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan perlindungan hak cipta terhadap produk inovasi agensi negeri.
Dengan lebih 360 penyertaan merangkumi lapan kategori utama, Fadzli berkata jumlah penyertaan terus meningkat berbanding 306 pada 2024 dan 220 pada 2023.
Majlis turut menyampaikan anugerah MPIPANS 2025, pertandingan dwitahunan yang menggalakkan penjawat awam bekerjasama membangunkan atau menambah baik produk inovasi bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.
Antara pemenang ialah Kumpulan EX7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi projek IRIS; Kumpulan Green Troopers Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan projek Pusat Kitar Semula PJ dan Kumpulan C-Force Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang menghasilkan Smart C-Box bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan kuasa.









