ad

Bank Dunia saran usia pengeluaran KWSP bermula 65 tahun

30 Okt 2025, 11:34 AM
Bank Dunia saran usia pengeluaran KWSP bermula 65 tahun

SHAH ALAM, 30 OKT: Umur akses pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 55 tahun dianggap terlalu rendah bagi struktur demografi Malaysia yang semakin menua, demikian menurut Bank Dunia.

Justeru, penetapan umur akses antara 65 dan 70 tahun akan kelihatan lebih sejajar dengan demografi Malaysia, menurut laporan kajian terbaharunya bertajuk Should Malaysia expand its social pension? Global evidence, design issues and options yang dilancarkan hari ini.

Bank Dunia berkata, umur akses yang lebih tinggi bagi pengeluaran persaraan juga akan membolehkan faedah purata yang lebih tinggi untuk mereka yang telah menerima pencen sosial.

Ia juga mencadangkan supaya umur kelayakan pencen sosial dinaikkan secara berperingkat kepada antara 65 hingga 70 tahun bagi memastikan sistem perlindungan sosial negara kekal mampan seiring dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang,” katanya dipetik Berita Harian.

Ketika ini, umur kelayakan pencen sosial ialah 60 tahun, jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain dan tidak lagi seiring dengan peningkatan jangka hayat sihat sejak skim itu diperkenalkan pada 1982.

Langkah menaikkan umur kelayakan itu, menurut analisis terkini berasaskan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), juga dapat membantu memastikan bantuan disasarkan dengan lebih baik kepada warga emas yang benar-benar memerlukan.

"Data HIES menunjukkan kadar kemiskinan relatif meningkat ketara apabila ketua isi rumah berumur lebih tua, masing-masing 24 peratus bagi mereka berumur 60 tahun ke atas, 42 peratus (65 tahun ke atas) dan 49 peratus (70 tahun ke atas). Ini menunjukkan risiko kemiskinan semakin meningkat seiring pertambahan usia," katanya.

Bank Dunia berkata, peningkatan umur kelayakan disifatkan wajar jika disertai peluasan liputan skim pencen sosial kepada lebih ramai penerima, bagi menampung mereka yang tiada simpanan persaraan atau pencen tetap.

Malah, katanya, dari sudut ekonomi politik, pelaksanaan dua langkah itu iaitu memperluas liputan dan menaikkan umur kelayakan secara serentak, lebih sesuai berbanding memperluas terlebih dulu dan menangguhkan kenaikan umur, yang boleh menjejaskan kepercayaan awam dan menambah tekanan fiskal kerajaan.

Tegasnya, penetapan umur kelayakan baharu antara 65 dan 70 tahun lebih sejajar dengan realiti demografi Malaysia yang menyaksikan penduduk hidup lebih lama dan lebih sihat berbanding empat dekad lalu.

Bagi mengelakkan kesan negatif terhadap penerima sedia ada, mereka dicadangkan terus menerima bantuan, manakala penerima baharu akan tertakluk kepada umur kelayakan baharu yang lebih tinggi.

Langkah itu juga akan membolehkan kerajaan menawarkan kadar pencen sosial yang lebih tinggi kepada penerima layak tanpa menambah beban fiskal secara mendadak.

Kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) menunjukkan pendekatan sedemikian mampu mengimbangi kebajikan rakyat dan tanggungan kewangan negara.

Pada masa depan, umur kelayakan pencen sosial juga boleh disesuaikan secara automatik mengikut peningkatan jangka hayat sihat, sebagaimana amalan di beberapa negara maju dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).