ad

103,500 anggota, 34,000 aset siap siaga hadapi musim tengkujuh

30 Okt 2025, 10:10 AM
103,500 anggota, 34,000 aset siap siaga hadapi musim tengkujuh

PUCHONG, 30 OKT: Sebanyak 103,500 anggota dan lebih 34,000 aset bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 6 Nov ini hingga 26 Mac 2026, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah.

Beliau berkata anggota itu antaranya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 20,600 orang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (15,640 orang) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (15,390 orang).

“Sebanyak 3,683 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan hotspot banjir dengan 2,987 daripadanya di Semenanjung Malaysia meliputi 91 daerah.

“Pahang, Kelantan, Sabah dan Terengganu dikenal pasti sebagai negeri dengan kawasan hotspot banjir,” katanya ketika pembentangan pada Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2025/2026 di sini hari ini.

Mengenai jangkaan jalan yang mungkin terjejas akibat MTL, beliau berkata kesemua jalan tersebut di beberapa negeri telah dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya daerah dan tindakan berjaga-jaga dilaksanakan untuk memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Pembentangan beliau turut meliputi kawasan berisiko bencana seperti taburan tanah runtuh dan pengagihan jambatan Bailey untuk ditempatkan di kawasan mendesak.

Mengenai pusat pemindahan sementara (PPS), Abdul Halim berkata sejumlah 8,940 PPS yang boleh menampung lebih dua juta mangsa bencana akan tersedia di seluruh negara semasa MTL.

“Sebanyak 59 peratus daripadanya merupakan sekolah, diikuti dewan orang ramai (20 peratus), balai raya (10 peratus) dan masjid dan surau masing-masing pada empat dan tiga peratus,” katanya.

Bagi pengagihan kit makanan (KM), beliau berkata sebanyak 60,000 KM dan 110,000 makanan retort (MRE) diperuntukkan sepanjang musim MTL manakala 23,600 KM dan 20,570 MRE akan digerakkan terlebih dahulu ke semua negeri ketika fasa pertama bencana.

Pada sidang media selepas sesi libat urus itu, beliau berkata kerajaan melaksanakan dua penambahbaikan utama dari segi pengoperasian dan koordinasi antara agensi bagi menghadapi MTL.

Beliau berkata antara yang dilaksanakan adalah penetapan semula Panduan Tetap Operasi (PTO) selain penyaluran bantuan kepada mangsa bencana bakal dilakukan secara lebih cepat dan berkesan.

“Mulai tahun ini, kerajaan bersetuju supaya penyaluran bantuan wang ihsan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat melalui aplikasi MyIBJKM dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN). Dengan sistem baharu ini, penyaluran bantuan boleh disempurnakan dalam tempoh satu minggu,” katanya.

Sesi libat urus berkenaan antaranya turut dihadiri wakil daripada PDRM, JBPM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Krisis dan Bencana) Bahagian Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM SAC Pahruradzi Abd Rahman berkata penyelarasan sidang media di kawasan MTL akan lebih sistematik dan diadakan dalam tempoh dua jam selepas insiden bagi memastikan maklumat sampai kepada masyarakat dengan tepat.

“Pucuk pimpinan memberi kuasa kepada komander operasi bencana (PDRM) untuk membuat sidang media secepat mungkin, dalam tempoh kurang dua jam berpandukan kepada keadaan dan situasi bencana,” katanya.

Pahruradzi dalam pada itu turut menasihatkan masyarakat agar tidak menyebarkan berita palsu berkaitan insiden atau sebarang bencana bagi menjaga ketenteraman awam ketika MTL.

-- BERNAMA