Sejarah panjang kaum Yahudi — yang dalam al-Quran sering disebut sebagai Bani Israel — bukan sekadar catatan tentang sebuah bangsa tetapi juga kisah tentang kedegilan manusia terhadap kebenaran.
Berulang kali al-Quran membawakan kisah mereka bukan semata-mata untuk menceritakan peristiwa lampau, tetapi sebagai peringatan dan cerminan bagi umat yang datang kemudian.
Melalui kisah Bani Israel, kita dapat melihat bagaimana hati manusia menjadi keras apabila tertutup daripada cahaya hidayah, walau telah menyaksikan mukjizat dan rahmat yang nyata.
Asal-usul
Kaum Yahudi berasal daripada keturunan Nabi Ya‘qub AS, yang digelar Israel. Anak-anaknya menjadi asas kepada bangsa yang kemudian dikenali sebagai Bani Israel. Mereka merupakan kaum yang dipilih Allah pada zamannya. Banyak para nabi dari kaum tersebut, malah diberi kitab suci Taurat.
Allah menyelamatkan mereka daripada penindasan Firaun di Mesir melalui mukjizat besar Nabi Musa AS: laut terbelah, tongkat menjadi ular, air memancar dari batu serta diturunkan makanan dari langit berupa manna dan salwa.
Namun di sebalik segala nikmat itu, mereka tetap keras hati dan degil. Setelah diselamatkan dari kezaliman Firaun, mereka berkata kepada Musa dengan penuh biadab.
Ayat ke-55 surah al-Baqarah (2) menyebut:
“Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan nyata.”
Permintaan yang melampau itu menunjukkan betapa akal mereka dikuasai kesombongan, seolah-olah mukjizat yang berderet-deret tidak memadai sebagai bukti ketuhanan.
Kisah Patung Anak Lembu
Salah satu contoh paling jelas kedegilan mereka ialah kisah penyembahan patung anak lembu. Tatkala Nabi Musa bermunajat di Bukit Tur Sina selama empat puluh malam, seorang lelaki bernama Samiri menyesatkan mereka dengan membuat patung anak lembu daripada emas.
Lembu itu ditiup hingga mengeluarkan bunyi seakan-akan hidup. Tanpa berfikir panjang, mereka segera menyembahnya sebagai tuhan.
Dalam ayat ke-51 surah al-Baqarah (2): Allah berfirman:
“Kemudian kamu menjadikan anak lembu sebagai sembahan selepas itu, sedang kamu orang-orang yang zalim.”
Bayangkan — kaum yang baru sahaja diselamatkan oleh Allah daripada belenggu perhambaan, menyaksikan laut terbelah di hadapan mata, namun masih berpaling kepada berhala.
Itulah puncak keingkaran yang menggambarkan bagaimana iman mereka hanyut dalam hawa nafsu dan kebendaan.
Enggan ke Tanah Suci
Kedegilan mereka berterusan. Setelah bebas dari Mesir, Allah memerintahkan mereka memasuki Palestin dan berperang menentang kaum yang zalim. Namun mereka takut dan menolak perintah itu.
Mereka berkata kepada Musa, ayat ke-24 surah al-Maidah (5) menyebut:
“Wahai Musa! Pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua; sesungguhnya kami hanya duduk di sini sahaja.”
Kata-kata itu menunjukkan penentangan terang-terangan terhadap perintah Allah. Akibatnya, mereka dihukum mengembara di padang Tih selama empat puluh tahun tanpa arah.
Hukuman itu bukan sekadar fizikal, tetapi juga rohani — hati mereka menjadi beku dan jiwa kehilangan pedoman.
Langgar Hukum Sabat
Allah juga menguji mereka dengan hukum Sabat iaitu larangan bekerja pada hari Sabtu. Namun mereka memperdaya hukum itu dengan tipu muslihat — meletakkan jaring sebelum Sabtu agar ikan terperangkap dan diambil keesokan harinya.
Mereka berpura-pura taat tetapi hakikatnya menipu hukum Tuhan. Dengan itu, mereka disumpah menjadi kera.
Ayat ke-166 surah al-‘Araf (7) menyebut:
“Maka Kami katakan kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina.”
Peristiwa itu menjadi simbol bagi hukuman kepada orang yang mempermain syariat, menunjukkan kedegilan bukan hanya menolak hukum tetapi juga menyelewengkannya demi kepentingan dunia.
Seleweng Kitab Taurat
Setelah diutus ramai nabi dalam kalangan mereka termasuk Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya dan Isa, sebahagian mereka tetap tidak berubah. Bahkan mereka memalsukan ayat-ayat Taurat, menokok tambah hukum Allah dan menjualnya pada harga dunia.
Ayat ke-79 surah al-Baqarah (2), Allah menggambarkan celaan terhadap mereka:
“Maka kecelakaanlah bagi orang yang menulis kitab dengan tangan mereka kemudian berkata: Ini daripada Allah.”
Inilah kemuncak penyelewengan iaitu apabila manusia sanggup memalsukan wahyu untuk mempertahan kekuasaan agama dan politik. Maka tidak hairanlah, hati mereka keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi (al-Baqarah: 74).
Penolakan Terhadap Nabi Isa
Tatkala diutus Nabi Isa AS sebagai rasul terakhir untuk Bani Israel, mereka menolak dan menuduh ibunya, Maryam, dengan tuduhan keji.
Mereka bersekongkol untuk membunuh Isa, namun Allah selamatkan seperti yang diceritakan dalam ayat ke-157 surah al-Nisa’ (4):
“Mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya, tetapi diserupakan bagi mereka.”
Kisah tersebut menggambarkan bagaimana kedegilan dan kebencian terhadap kebenaran akhirnya membawa mereka kepada kekufuran yang nyata.
Pengajaran umat Islam
Al-Quran bukan sekadar menghimpunkan kisah Bani Israel untuk dicela tetapi untuk menjadi cermin bagi umat Muhammad SAW.
Kedegilan mereka mengajar bahawa nikmat tanpa syukur akan membawa kepada kehinaan dan hati yang keras sukar menerima kebenaran walau penuh bukti serta menyeleweng hukum agama demi kepentingan dunia adalah dosa besar, malah tipu helah terhadap perintah Allah tidak akan terlepas daripada pembalasan-Nya.
Dalam ayat ke-16 surah al-Hadid (57) Allah menegur umat Islam dengan firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu, lalu hati mereka menjadi keras.”
Kisah kedegilan Yahudi dalam al-Quran adalah lukisan paling jelas tentang bahaya hati yang sombong dan iman yang rapuh.
Mereka menyaksikan mukjizat, menerima wahyu tetapi tetap berpaling daripada kebenaran. Kedegilan itu akhirnya menjadikan mereka kaum yang hina, kehilangan petunjuk dan maruah.
Bagi umat Islam, kisah mereka perlu melahirkan rasa menginsafi diri sendiri agar tidak mengulangi kesalahan mereka — mempermain agama, menolak kebenaran dan mengingkari nikmat Allah.




