ad

58 kilang beroperasi tanpa lesen sah di Puchong berdepan tindakan tegas - MPSepang

30 Okt 2025, 3:20 AM
58 kilang beroperasi tanpa lesen sah di Puchong berdepan tindakan tegas - MPSepang

SHAH ALAM, 30 OKT: Sebanyak 58 kilang di Taman Perindustrian Meranti Utama, Puchong bakal berdepan tindakan tegas selepas didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan sah, hasil pemeriksaan inventori yang dijalankan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) awal tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang Muhamad Shah Osmin berkata pihaknya sebelum ini memberi tempoh kepada semua pengusaha terlibat untuk memohon lesen sah, namun tempoh kelonggaran tersebut kini berakhir.

“MPSepang akan mengeluarkan notis bagi menggesa pematuhan dan pelesenan. Lesen bukan sekadar sumber hasil, sebaliknya penting untuk memastikan operasi kilang dikawal selia dengan baik serta mematuhi piawaian agensi berkaitan,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau menegaskan, pematuhan lesen memastikan semua kilang memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar serta pembekal utiliti air dan tenaga.

Dalam pada itu, Muhamad Shah memaklumkan MPSepang turut memperkasa operasi penguatkuasaan lalu lintas bagi menjamin keselamatan awam dan kelancaran jalan raya.

“Antara Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1,990 kenderaan ditunda melibatkan 1,797 kes di Cyberjaya, 147 di Bandar Baru Salak Tinggi, dan 46 di Dengkil,” ujarnya.

Menurutnya, hasil kutipan daripada operasi berkenaan berjumlah RM597,000, merangkumi RM437,800 bayaran tunda dan RM159,200 kompaun.

Tambah beliau, pembukaan depoh kenderaan ketiga MPSepang di Dengkil awal tahun ini turut memperkukuh usaha penguatkuasaan. Dua lagi depoh masing-masing beroperasi di Cyberjaya dan Bandar Baru Salak Tinggi.

“Setiap depoh mampu menampung antara 15 hingga 20 kenderaan pada satu-satu masa, namun operasi kekal efisien berikutan kadar keluar masuk yang tinggi,” katanya